ZED ZAIDI
ZED ZAIDI
Norhayati Nordin


PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menggesa selebriti yang berasa ada kaitan dengan kegiatan 'cuci' duit haram diperoleh daripada sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian tampil memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti diminta.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, selebriti terbabit perlu ada sikap bertanggungjawab jika rasa ada kaitan rapat dengan perniagaan itu.

"Tampil untuk serah diri bagi memberi kerjasama. Ia lagi baik dilakukan secara suka rela kerana boleh nampaklah artis-artis yang berkenaan itu bertanggungjawab.

"Jadi, untuk benda yang berkait rapat seperti ini, sesiapa artis terbabit atau berasa nama mereka mungkin ada boleh menghubungi SPRM untuk dapatkan maklumat lanjut atau tampil secara sukarela," katanya.

Menurut Zed, biar sikap tanggungjawab dilakukan selebriti berkenaan boleh menjadi contoh kepada komuniti dan masyarakat.

Katanya, dalam soal tanggungjawab ini, mana tahu jika berlaku dalam masyarakat atau komuniti pula, mereka yang terbabit itu akan tampil memberi kerjasama secara suka rela.

Mengulas soal imej artis yang mungkin tercalar, Zed berkata, memang lumrah selebriti tidak terlepas daripada orang suka dan tak suka, apatah lagi jika terpalit dengan perkara sebegini.

"Sebelum kes ini pun, ada juga golongan artis terbabit dengan 'along' dan dadah. Apapun, tak perlu berasa malu kerana kerjasama diberikan itu boleh jadi contoh tanggungjawab pada masyarakat.

"Kalau kita tak bersalah, tak perlu rasa takut. Dengan keberanian dan sikap tanggungjawab itu, artis boleh jadi ikon kepada orang ramai," katanya.

Zed berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menganjurkan seminar bersama SPRM sebagai usaha memberi pendedahan dan penyampaian maklumat mengenai rasuah kepada selebriti supaya tidak menjadi mangsa.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil, tetapi siapa yang makan cili pasti rasa pedas.

Beliau berkata demikian berhubung berapa ramai selebriti dan ahli perniagaan yang berada dalam radar agensi terbabit susulan terbongkarnya kegiatan 'cuci' duit haram diperoleh daripada sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian membabitkan golongan itu.

Menerusi temubual secara langsung pada slot 'SPRM 360' di MACCfm, Azam mendedahkan sindiket terbabit menyerahkan wang dalam bentuk tunai kepada individu terbabit untuk 'dicuci' menerusi operasi perniagaan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:53 PM