Mila dan ibu bapanya.
Mila dan ibu bapanya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin, 32, mendedahkan kehidupan lalu yang serba kekurangan membuatkan dia nekad berusaha mahu mengubah nasib keluarganya.

Mengimbau kenangan lalu, Mila berkata kehidupan keluarganya yang pernah hidup susah menyebabkan dia terus melupakan hasrat untuk menyambung pengajian di menara gading.

"Saya anak sulung dalam keluarga dan ibu bapa pula bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan aktiviti lainnya, turut memungut tin di tepi jalan.

"Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin, memang kasihan. Ibu pula bekerja di kilang untuk bantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga.

"Malah, pernah satu ketika atap rumah kami berlubang, bocor dan rosak akibat tak dapat diganti kerana tiada duit. Bila hujan, basah satu rumah dan itu sangat menyedihkan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mila, kehidupan yang susah itu banyak mengajarnya untuk bangkit dan berusaha memajukan diri. Katanya, dia juga pernah bekerja di kilang sebelum menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007.

"Namun, kejayaan menjulang trofi juara AF5 sangat membantu saya untuk mengubah nasib keluarga. Dengan populariti diraih ketika itu, saya dapat memberi keselesaan pada ibu bapa dan adik-beradik.

"Apapun, saya terfikir juga sampai bila akan jadi penyanyi dan terus popular. Justeru, sedikit demi sedikit melalui simpanan dibuat, saya mula berniaga.

  

"Alhamdulillah, mujur bertemu suami saya, Isz Mustapha, ketika itu yang bertindak sebagai pengurus dan dia banyak membantu dengan mengajar saya selok-belok berniaga," katanya.

Ujar Mila, dia mula berniaga secara kecil-kecilan selepas menyertai AF5 dan empayar perniagaannya dalam industri perkahwinan pula mula dibina sekitar 2013 lalu.

Jelasnya, kini dia bersyukur selepas tujuh tahun perniagaan Bizmilla dibina, ia sudah dikembangkan dengan tiga cawangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

Menurut Mila lagi, Bizmilla juga sekarang mempunyai 18 dewan yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dengan menyediakan beberapa pakej menarik untuk pelanggan.

"Apapun, kejayaan dimiliki saya kini adalah atas doa ibu bapa dan usaha. Namun, saya juga berterima kasih kepada semua pekerja yang banyak membantu dan hingga kini masih setia bersama," katanya.

Sehubungan itu, Mila juga dalam proses mengembangkan lagi perniagaannya di bahagian perkhidmatan pembelian dan penghantaran makanan secara dalam talian (online) yang bakal diperkenalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 3:13 PM