Rizalman Ibrahim. FOTO NSTP
Rizalman Ibrahim. FOTO NSTP
Oleh Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pereka fesyen dan usahawan terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, 49, berhasrat mencurah ilmu dimiliki termasuk kemahiran 'survival' graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pekerjaan sebenar sepanjang perkhidmatannya sebagai ahli lembaga di institusi itu.

Rizalman berkata, itu antara janjinya yang mana mahu bagi menambah baik taraf graduan universiti terbabit supaya dapat berbakti dengan lebih mampan kepada masyarakat kelak.

"Bergelar graduan bukan sekadar untuk mendapat segulung ijazah saja. Saya bersyukur ada kelebihan daripada segi ilmiah serta pengalaman lebih 30 tahun meredah cabaran dalam alam pekerjaan dan membina empayar.

"Kemahiran 'survival' inilah yang saya mahu perkukuhkan lagi dalam diri graduan. Saya mahu gunakan peluang ini bagi mendidik mereka untuk menyimpan cita-cita tinggi serta sedia memberi impak kepada masyarakat," katanya.

Rizalman juga berjanji untuk menelusuri situasi di UiTM secara menyeluruh sebelum melaksanakan sebarang penambahbaikan dalam misinya berbakti sebagai Ahli Lembaga UiTM.

"Saya tidak sangka posisi ini terlalu tinggi dan penting. Oleh itu, saya perlu persiapkan diri untuk mengkaji setiap aspek yang penting untuk diberi perhatian dalam memajukan UiTM.

"Kehadiran saya bukan untuk mengubah sistem, sebaliknya bagi memantapkan lagi kredibiliti universiti secara keseluruhan. Tradisi yang sedia ada perlu diteruskan namun boleh digabungkan dengan elemen baru dan relevan.

"Saya dimaklumkan fokus mungkin banyak dalam membantu daripada segi pengalaman keusahawanan. Namun begitu, saya sedia menyumbang pelbagai idea baik untuk tujuan akademik dan lahirkan graduan berkualiti," katanya.

Terdahulu, pelantikan Rizalman dikongsikan UiTM menerusi laman Facebook rasmi universiti itu.

Rizalman yang juga anak jati Pulau Pinang adalah alumni universiti itu dalam bidang seni lukis dan seni reka (fesyen).

Sementara itu, pelantikan pereka fesyen itu mendapat maklum balas dan komen positif daripada netizen yang mana ruangan komen di Instagram Rizalman dipenuhi ucapan tahniah.

Malah, beberapa individu yang terdiri daripada alumni serta kakitangan universiti itu meluahkan rasa berbangga dengan pelantikan itu.

Rata-rata beranggapan Rizalman layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah ekoran dia adalah alumni UiTM.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 2:36 PM