HAFREEZ Adam. FOTO IG
HAFREEZ Adam. FOTO IG
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Hafreez Adam, 30, mengakui memang kemunculannya seakan tenggelam timbul dalam kerjaya seni, namun yang pasti hingga kini dia tetap aktif berlakon.

Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata sejujurnya, untuk tahun ini dia sudah menyiapkan tiga drama untuk stesen TV.

"Saya akui memang jarang muncul dalam acara hiburan atau di tempat umum hingga menyebabkan diri dianggap tenggelam timbul dalam industri selama ini.

"Bagaimanapun, tawaran berlakon masih ada, namun memang sikap saya yang selesa memilih duduk di rumah jika tiada penggambaran. Apatah lagi, saya mengalami masalah 'jiwa kacau' dan keresahan melampau.

"Jantung saya akan laju dan keadaan diri jadi kurang stabil bila berada di tempat  umum. Saya ada masalah paranoid yang teruk dan tindakan terbaik adalah duduk di rumah bersama keluarga.

"Bila di rumah, saya selalu rasa lebih selamat. Selain itu, saya juga kena sibukkan diri dengan bekerja supaya tidak ada masa untuk berfikir yang bukan-bukan. Saya suka banyak fikir," katanya.

Sekitar Mei lalu, Hafreez mendedahkan dia pernah berhadapan tekanan mental berikutan mengalami beberapa isu  mengecewakan dirinya termasuk perceraian ibu bapa.

Perkara sedih itu hanya dipendam sendiri sejak kecil dan tidak dikongsi dengan sesiapa. Selain itu, Hafreez juga mengakui dia hanya bersekolah hingga darjah enam kerana masalah keluarganya.

Selain itu, Hafreez berkata dia juga tak mahu lagi hidup bersendiri dan jauh daripada ibu serta adik-beradiknya yang  menjadi kekuatan semangat pada dirinya.

Ujar pelakon drama Puteri Yang Ditukar ini sekarang fokusnya memang tinggal bersama ibu dan adik di Wangsa Maju.

"Terus-terang, saya mengaku kehadiran keluarga sangat penting berbanding menjalani kehidupan secara bersendiri yang agak mencabar ini.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, saya terpisah dengan ibu serta adik-beradik selama tiga bulan dan keadaan itu satu cabaran buat saya,' katanya.

Menurut Hafreez, walaupun dia menetap di Bangi bersama rakannya Ariz Lufiaz ketika PKP itu, namun seumur hidup memang dia tak pernah berjauhan lama sangat dengan keluarga terutama bertemu ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 10:46 AM