X
DATUK Jeffrydin. FOTO NSTP
DATUK Jeffrydin. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Menjaga pemakanan harian dan rutin melakukan senaman ringan adalah petua kesihatan yang diamalkan penghibur legenda era 1960-an, Datuk Jeffrydin.

Pada usia 74 tahun ketika ini, tak hairanlah apabila penyanyi pop yeh yeh itu masih kelihatan sihat dan bertenaga.

Jeffrydin berkata, dia bersyukur kerana terus diberikan kesihatan yang baik termasuk tiada sebarang penyakit kronik.

"Saya tidak mengambil makanan sejuk dan berminyak kerana tidak bagus untuk kesihatan badan. Saya juga amalkan minum air suam, susu segar atau susu tepung sebelum tidur.

"Untuk senaman, setiap hari selepas solat Subuh, saya akan berjalan di persekitaran rumah," katanya.

Menurutnya, dia yang sudah biasa bangun seawal jam 5.30 pagi sudah sinonim dengan rutin harian itu. Lagipun, ketika itu suasana pagi masih sunyi dan sangat mendamaikan.

Jeffrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman berkata, penjagaan kesihatan sangat penting apabila usia sudah mencecah kategori warga emas.

"Dalam keluarga saya, arwah nenek dikurniakan umur panjang mencecah 120 tahun sebelum meninggal dunia. Begitu juga arwah datuk saya yang meninggal dunia pada usia 89 tahun. Bapa saya pula meninggal dunia pada usia 83 tahun," katanya.

Menurut Jeffrydin, dia yang suka menonton rancangan dokumentari pernah menyaksikan paparan kisah seorang lelaki berusia 100 tahun yang masih bertenaga, sihat dan mempunyai stamina kuat.

"Saya sangat kagum dengan keupayaan kesihatan lelaki itu yang mana pada usia emasnya dia masih mampu berlari 100 meter. Jadi, saya catat segala maklumat yang dikongsikan dalam rancangan itu untuk dijadikan panduan dan rujukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 9:10 PM