FARRED tidak pernah menyangka lagunya menjadi pilihan Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi telefilem Kasih Tau Foo Fah.
FARRED tidak pernah menyangka lagunya menjadi pilihan Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi telefilem Kasih Tau Foo Fah.
Ridzuan Abdul Rahman

Pasti ramai tertarik apabila menikmati lagu Sunyi yang menjadi runut bunyi atau OST (original sound track) bagi telefilem Kasih Tau Foo Fah, arahan Raja Mukhriz.

Telefilem yang mempunyai jalan cerita menarik dan sarat mesej positif itu ditayangkan di TV3 pada 19 September lalu.

Apapun, paling tak sangka apabila ramai juga yang sibuk mencari siapakah penyanyi lagu Sunyi sebaik tayangan telefilem itu selesai

kerana lagu itu amat menyentuh hati tatkala mendengarnya.

Ternyata, siapa yang menduga lagu berentak pop balada ini membawa tuah kepada bakat baru dikenali Farred Zane iaitu penyanyi dan juga komposer untuk lagu yang dicipta sepenuhnya pada tahun lalu.

Farred Zane atau nama sebenarnya Mohd Farid Mohd Zin, 30, yang berasal dari Machang, Kelantan mengakui tidak pernah menyangka lagunya menjadi pilihan Raja Mukhriz untuk dijadikan runut bunyi telefilem berkenaan.

"Sebenarnya, lagu Sunyi berkisar tentang seorang budak yang kesunyian sejak kecil hingga dewasa. Dia sunyi disebabkan kehilangan emak dan ayah sewaktu kecil dan hidup sebatang kara.

"Sebaik pihak Saudagar Seni memperdengarkan lagu ini kepada Raja Mukhriz, dia terus bersetuju untuk menjadikannya sebagai OST telefilem Kasih Tau Foo Fah.

"Menurutnya, lagu ini sesuai dengan jalan cerita telefilem terbabit. Bahkan, kata Raja Mukhriz lagi karya seni saya ini ada 'rohnya' dan apabila diputarkan di set penggambaran, pelakon juga menangis ketika mendengarnya," katanya.

Fareed mengakui amat gembira dan bersyukur lagu Sumyi itu berjaya menyentuh hati setiap orang yang mendengarnya.

"Saya cipta lagu ini dan bawa ke studio rakaman Alfa, Rumi Booty dan Daqmie. Ia berdasarkan kisah kehidupan anak-anak kecil di Palestin yang kehilangan ibu bapa pada usia muda.

"Kisah sedih mereka itu memberi idea pada saya untuk cipta lagu Sunyi," katanya yang kini menjadi bakat naungan Saudagar Seni.

Menurutnya, lagu Sunyi mungkin mudah melekat di hati pendengar kerana berkisarkan mengenai kemanusiaan.

Bagaimanapun, susunan muzik lagu ini di cantikkan lagi oleh mereka yang tidak asing dalam bidang muzik. Ternyata Alfa, Rumy dan Daqmie memberikan tunjuk ajar yang sangat bermakna dalam memberikan haluan yang jelas untuk lagu ini.

"Awalnya, proses promosi yang sudah dirancang terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi, saya percaya ada hikmah di sebalik semuanya.

"Terbukti, apa yang saya sangkakan benar-benar terjadi apabila lagu Sunyi akhirnya dilamar untuk dijadikan lagu runut bunyi.

"Selain itu, muzik video juga sudah siap dibuat dan boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media sejak 17 September lalu," katanya.

Farred Zane bersedia memberikan karyanya pada mereka yang berminat kerana dia mempunyai banyak koleksi lagu yang sudah siap.

"Selain berkisarkan kisah kemanusiaan, lagu saya juga menyentuh berkenaan cinta tapi lebih bersifat umum dan sesuai untuk semua peringkat umur," katanya yang pernah mengikuti kelas vokal selama dua tahun di bawah bimbingan Cikgu Siti Hajar.

Pemilik Diploma Seni Kulinari dari MSU (Management & Science University), Shah Alam itu juga pernah menganggotai kumpulan Damai & Friends dan menghasilkan satu album.

Menerusi pembabitannya dalam kumpulan itu, mereka sempat muncul dengan album berjudul Satu Kalimah dan berjaya dicalonkan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014.

Farred yang juga seorang cef dan pemilik syarikat Event Management Catering & Wedding Planner di Rawang, Selangor pernah muncul sebagai juara untuk program Sri Murni Dapur Duet bersama Khai Bahar pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:47 AM