Farah Nabilah.
Farah Nabilah.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Farah Nabilah, 28, selamat bersalin bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor, semalam

Menerusi instagramnya, Farah memberitahu belum bersedia untuk berkongsi nama dan wajah anak sulungnya ini.

"Assalamualaikum semua. Syukur alhamdulillah Fawaa (Farah) selamat melahirkan bayi lelaki sulung yang sihat pada pagi tadi (semalam), 5 Rabiulawal 1442.

"Fawaa akan kongsikan nama and wajahnya bila tiba masanya ya," katanya.

Farah Nabilah Saipuddin turut mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan kesihatan dan keselamatan buat diri dan bayi.

"Terima kasih atas doa yang dititip untuk kami bertiga selama ini. Semoga Allah merahmati kita semua dengan kegembiraan terutamanya dalam keadaan macam ni. Be safe semua," katanya.

Ruangan komen di Instagramnya turut dihujani ucapan tahniah daripada peminat dan rakan-rakan artis.

Antaranya, Mira Filzah, Scha Elinnea, Syanie, Tasha Shilla, Jay Nazif, Diana Rafar, Adeline Tsen, Sherry Ibrahim, Jasmine Suraya dan ramai lagi.

Pelakon drama Titian Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, 29 pada 20 Disember 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 8:44 AM