VIA VALLEN
VIA VALLEN
Agensi

 

Jakarta: Malang buat penyanyi Via Vallen, 29, apabila video muzik (MV) lagu baharunya berjudul Kasih Dengarkanlah Aku dikecam kerana didakwa menciplak video penyanyi Korea, IU.

Bahkan, ramai warganet meminta penyanyi itu memadam MV itu. Ada juga warganet yang menyeru orang lain melaporkan video itu.

Dalam video berkenaan, Via menampilkan vokalis Dadali, Dyrga sebagai model. Penyanyi itu tampil menerusi babak persandingan.

Namun begitu, jalan cerita dan idea video itu dilaporkan sangat mirip dengan MV lagu IU berjudul Above the Time. Lagu berkenaan dilancarkan pada tahun lalu.

Dari adegan awal, sudah terlihat persamaan dalam video berkenaan. Perkara itu membangkitkan kemarahan warganet yang mempersoalkan kenapa penyanyi itu harus menciplak.

Lantas, namanya terus menjadi sohor kini di Twitter memandangkan ramai mengutuknya. Rata-rata menyifatkan konsep video itu langsung tiada keasliannya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 12:07 PM