Sharifah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lemak atau cyst di bahagian mata kirinya, baru-baru ini. FOTO NSTP
Sharifah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lemak atau cyst di bahagian mata kirinya, baru-baru ini. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Sharifah Zarina, 39, menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lemak atau cyst di bahagian mata kirinya, baru-baru ini.

Zarina berkata, dia menyedari ketumbuhan di bahagian tepi sebelah anak mata kirinya itu dan pernah membuat pemeriksaan doktor pada 2017.

"Doktor jelaskan ia tak menyakitkan dan tak mendatangkan bahaya, cuma ia boleh membesar kerana lemak. Ketika itu saya belum bersedia nak buat pembedahan kerana tak besar sangat. Cuma sekarang makin membesar sehingga mata kiri nampak kuyu berbanding sebelah kanan.

"Bila nak mekap nampak pelik dan tak cantik kalau nampak dalam gambar dan tv. Orang pun perasan perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Zarina kemudian membuat keputusan berjumpa semula doktor yang melakukan pemeriksaan terhadapnya dahulu di sebuah pusat perubatan di Damansara.

"Dia seorang pakar pembedahan plastik. Kali ini dia syorkan saya buat CT Scan terlebih dahulu kerana bimbang ketumbuhan ini berkaitan dengan otak. Pemeriksaan mendapati semuanya okay dan saya boleh buat pembedahan untuk buang ketumbuhan ini. Saya akhirnya buat pembedahan seperti dirancang pada 20 Oktober lalu dan tempoh untuk sembuh sepenuhnya memakan masa selama sembilan bulan," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh ini dia perlu berjumpa doktor secara berkala untuk pemeriksaan susulan.

"Setiap minggu saya kena jumpa doktor dan ambil secara berperingkat. Namun lama kelamaan proses ini akan berkurangan selepas beberapa bulan. Doktor juga kata saya tak perlu pantang makan kerana kemungkinan untuk ketumbuhan berulang kembali agak susah.

"Lagipun doktor sudah buang sampai akar. Namun, saya tetap berpantang dan hanya ambil makanan berkhasiat. Selain itu, saya juga tanya pengalaman orang yang pernah buat pembedahan untuk cepat pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:24 PM