MASYA Masyitah. FOTO Arkib NSTP
MASYA Masyitah. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Masya Masyitah mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan mencungkil bakat peringkat antarabangsa, Yippi Star Quest 2020, Ahad lalu. 

Dalam pertandingan akhir itu, Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, 20, menewaskan penyanyi dari Filipina, Phem sekali gus memenangi hadiah wang tunai sebanyak AS40,000 (RM160,000).

Masya berkata, dia tak sangka boleh menang kerana pertandingan itu berlangsung dengan cukup sengit sejak dianjurkan Julai lalu. 

"Ketika peringkat suku akhir pun potensi untuk melepasi ke peringkat seterusnya tidak mudah. Markah yang saya peroleh dengan peserta lain pun tidak banyak beza ketika itu. Namun, ini adalah rezeki saya selain terharu apabila mendapat sokongan bukan hanya daripada rakyat Malaysia tetapi di seluruh rantau Asia," katanya. 

Selaku juara, Masya menewaskan lebih 3,000 peserta yang bertanding secara 'live streaming'. 

Menurut Masya, kefasihannya bertutur dalam bahasa Mandarin memberi kelebihan apabila dia menjadi pilihan utama dalam platform media sosial Yippi. 

"Mungkin salah satu faktor kejayaan saya pada malam itu disebabkan kelebihan saya yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin sehingga menarik perhatian masyarakat di China. 

"Melihat seseorang yang berbangsa Melayu tapi mahir bertutur dan menyanyikan lagu Mandarin membuatkan mereka rasa saya istimewa dan mempunyai keunikan tersendiri. Kejayaan ini juga secara tidak langsung dapat mengharumkan nama negara di mata dunia," katanya. 

Menurut Masya, wang tunai yang dimenangi bakal disimpan untuk bekalan pada masa depan selain digunakan utuk mengeluarkan single berbahasa Mandarin tidak lama lagi. 

Terdahulu, pada malam separuh akhir, penyanyi lagu Hapus itu menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Mandarin, Melayu, Inggeris dan Indonesia berdasarkan pilihan penonton.

Bukan itu sahaja, perwatakan menarik dan menyenangkan yang ditonjolkan membuatkan penonton daripada pelbagai kaum di rantau Asia Tenggara sepakat mengundinya sehingga ke peringkat akhir kerana percaya pada bakatnya dan akhirnya bergelar juara.

Pada peringkat akhir, Masya menyanyikan 16 buah lagu termasuk lagu berjudul Living On A Prayer (nyanyian asal Bon Jovi) dan beberapa lagu lain berbahasa Mandarin dan Tagalog.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:00 PM