HAQIEM Rusli bersama kereta NIssan Leaf yang dimenanginya. FOTO ASYRAF HAMZAH
HAQIEM Rusli bersama kereta NIssan Leaf yang dimenanginya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Haqiem Rusli yang dinobat sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) semalam, menafikan dia membeli undi untuk memenangi anugerah terbabit.

Haqiem berkata, kemenangan yang diperoleh adalah hasil titik peluh dan usaha keras kelab peminatnya, Qiemilio yang ingin melihat dia berjaya.

"Demi Allah saya tidak menggunakan sesen pun wang saya untuk meminta orang mengundi. Semua undian yang diterima adalah daripada peminat yang sudah dianggap seperti keluarga saya.

"Qiemilio memang nak tengok saya menang untuk kategori utama ini. Kemenangan ini adalah berdasarkan undian dan saya harus memberikan kredit kepada Qiemilio yang berusaha keras untuk memastikan kemenangan ini.

"Tahun ini kemenangan adalah milik saya dan diharapkan tiada pihak yang mempertikaikannya. Harap tiada yang bergaduh sebaliknya saling memberikan sokongan," katanya.

Menurut Haqiem, dia terbuka dengan sebarang kecaman atas kemenangan yang diperoleh kerana masing-masing mempunyai pendapat.

"Saya pernah lalui kecaman yang lagi teruk. Jadi kecaman mengenai isu ini adalah satu perkara yang biasa. Lagipun mereka ada pendapat masing-masing.

"Apapun kecaman yang diterima saya reda. Apa yang penting saya tahu apa yang saya buat. Saya dengar dan belajar daripada segala kesilapan serta sentiasa perbaiki diri menjadi lebih baik," katanya.

Semalam, Haqiem diumumkan sebagai pemilik trofi Bintang Paling Popular ABPBH 33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 22 tahun itu memperoleh undi sebanyak 22,332,676 undi sepanjang tempoh undian ABPBH 33 dibuka sejak awal bulan lalu hingga 8 November lalu.

Haqiem yang turut memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia menyaksikan penyanyi itu memecah dominasi Khai Bahar yang memenangi kategori itu selama tiga tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 2:25 PM