Vanessa Hudgens dalam The Princess Switch: Switched Again.
Vanessa Hudgens dalam The Princess Switch: Switched Again.
Agensi 

Los Angeles: Pelakon dan penyanyi Vanessa Hudgens mengambil cabaran membawakan tiga watak menerusi filem The Princess Switch: Switched Again. 

Dia yang terkenal menerusi siri High School Musical meminta produksi memberikan skrip segera kepadanya.

"Membawakan tiga karakter sekaligus adalah latihan yang baik bagi kreativiti saya dalam melakonkan sebuah karakter yang lain," katanya yang juga penerbit filem romantis komedi ini.

The Princess Switch adalah adaptasi novel The Prince and the Pauper karya Mark Twain yang diterbitkan pada 1881.

Dalam filem ini, dia juga membawakan dua karakter lain iaitu sebagai Stacy DeNovo dan Lady Margaret Delacourt.

Stacy adalah tukang roti dari Chicago, manakala Lady Margaret pula keturunan kerajaan dari Montenaro.

Dalam sekuel The Princess Switch, dia juga perlu melakonkan watak Lady Fiona, sepupu Margaret yang jahat. 

Memetik laporan Hollywood Reporter, Vanessa berkata demi menghidupkan wataknya itu dia perlu berlatih menggunakan dialek Inggeris dalam pertuturan dan membezakannya dari dialek karakter Margaret.

"Menjadi Fiona agak mudah kerana itu aksen bahasa yang kerap saya gunakan sehari-hari sebagai hiburan sendiri.

"Tetapi, dialek Margaret sesungguhnya membuatkan saya kena bekerja keras. Terima kasih kepada pelatih dialek saya, yang selalu menemani di lokasi untuk memastikan semuanya sempurna," katanya.

Dalam The Princess Switch: Switched Again, Margaret dan Stacy bersatu kembali dan menyusun rancangan bertukar tempat sekali lagi untuk menyelamatkan hubungan Margaret dengan Kevin (lakonan Nick Sagar).

Namun dalam pada itu, muncul pula Fiona yang jahat dan cuba  menggagalkan rancangan mereka sambil merancang mengambil alih takhta daripada Margaret.

Filem yang ditayangkan menerusi Netflix mulai 19 November lalu masih ditulis dan diarahkan oleh Mike Rohl, Robin Bernheim serta Megan Metzger. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:37 PM