TIDAK pernah kecewa walaupun belum benar-benar menyerlah dalam industri muzik tanah air.
TIDAK pernah kecewa walaupun belum benar-benar menyerlah dalam industri muzik tanah air.
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS lima tahun penyertaannya dalam program Dangdut Star terbitan Astro pada 2016, nama Zarith Shuhada Mohd Yasin belum benar-benar menyerlah dalam kalangan peminat industri muzik tanah air.

Zarith, 29, mengakui rezekinya belum tiba dan tidak pernah kecewa untuk terus menggilap nama dalam nyanyian.

"Tiada istilah mengalah dalam kamus hidup saya kerana selagi boleh saya memang nak teruskan menyanyi sampai bila-bila. Cuma hanya keadaan yang akan menentukan sama ada cepat atau lambat. Insya-Allah, masanya akan sampai juga. Lagipun kita tak tahu bila masa bintang itu akan menyerlah. Jadi saya kena positif dan terus berusaha," katanya.

Anak kelahiran Johor yang aktif mengasah bakat nyanyian di Melaka antaranya menerusi pertandingan karaoke bersama Ayda Jebat dan Asmidar Ahmad berkata, dia seronok dengan apa yang dilakukannya sekarang.

"Saya masih lagi bekerja di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam sebagai penyanyi utama kombo. Cuma dalam keadaan sekarang tak banyak yang dapat diusahakan.

ZARITH positif bintangnya akan bersinar dalam nyanyian.
ZARITH positif bintangnya akan bersinar dalam nyanyian.

"Saya merancang untuk meneruskan karier dan persembahan apabila keadaan terkawal dan kita pun mengamalkan norma baharu buat masa ini. Semua persembahan ditangguhkan termasuk persembahan saya, tapi saya masih mengharapkan sekiranya ada jemputan persembahan daripada mana-mana pihak yang berminat," katanya yang masih lagi aktif menyanyi walaupun pada musim norma baharu ini.

Walaupun impian untuk menghasilkan single solo belum kesampaian, Zarith tetap bersyukur kerana dijemput Zam Yakuza untuk berduet menerusi lagu berjudul Ayok Tak Tayok.

"Lagu ini boleh ditonton menerusi YouTube. Semakin hari saya semakin seronok terutama setiap kali dapat jemputan buat persembahan. Selain itu saya banyak dapat tawaran merakamkan lagu tarian dan lagu genre tradisional.

"Selepas ini saya bakal merakamkan dua lagu ciptaan Ayad iaitu pemuzik kombo PADAT (Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor) berjudul Tarian Piring dan Zapin Kebaya Selangor yang melambangkan negeri Selangor untuk Muzium Sultan Alam Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:48 AM