Najiy Jefri


SELAIN lakonan, bidang muzik Indonesia juga mendapat tempat pada kalangan peminat industri seni di negara ini. Hinggakan pelakon atau penyanyi dari negara jiran itu memiliki kelompok peminat tersendiri.

Apapun, salah seorang penyanyi dari Indonesia yang cukup menjadi perhatian di negara ini ialah mendiang Glenn Fredly. Ditambah, kelunakan vokal dan sosok Glenn yang sasa membuatkan dia begitu mendapat perhatian peminat.

Namun, yang pasti ketika hayatnya penganjuran Konsert Tanda Mata adalah satu inisiatif yang dijayakan oleh Glenn dengan konsep kreatif untuk memberikan apresiasi kepada pemuzik berdedikasi di Indonesia.

Konsert yang diadakan pada setiap hari ulang tahun kelahirannya pada 30 September itu adalah tanda terima kasih serta penghormatan yang diberikan pemuzik dalam merancakkan industri seni muzik Indonesia.

Mula dianjurkan pada 2016 lalu dengan menjulang penyanyi Indonesia seperti Ruth Sahanaya, SLANK, Yovie Widianto, KoesPlus Bersaudara, namun tahun ini agenda utama konsert Tanda Mata adalah untuk memberi penghormatan kepada mendiang Glenn.

Bertemakan Tanda Mata Glenn Fredly Untuk Masa Depan, konsert terbabit bercerita mengenai cita-cita Glenn untuk terus menghidupkan dan membangunkan industri muzik di Indonesia.

"Konsert ini juga akan memperkenalkan album Romansa Ke Masa Depan yang juga ada kaitannya mengenai masa depan dari sudut pandang Glenn Fredly, sekali gus menjadi cermin semangat dalam menuju pembabitan Glenn sepanjang 25 tahun dia berkarya.

"Menerusi konsert yang bakal diadakan secara maya ini penonton akan mengenali lebih intim mengenai sosok penyanyi ini yang sentiasa membumi. Glenn memiliki cita-cita yang tinggi untuk membangunkan Indonesia melalui kerjasama dalam bidang muzik," kata salah seorang wakil penganjur, Bumi Entertainment.

Menyedari jangkitan Covid-19 masih menular di Indonesia, penganjuran konsert Tanda Mata yang dijadualkan berlangsung pada hari ini (28 November) akan dibuat secara

'live streaming'.

Konsert Tanda Mata ini dianjurkan oleh Bumi Entertainment, Musik Bagus Indonesia dan RumaBeta Foundation selain turut bekerjasama dengan BookMyShow.

Pada konsert terbabit, beberapa artis yang terdiri daripada pemuzik berkumpulan atau penyanyi solo akan memberi apresiasi serta penghormatan terhadap Glenn dengan menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.

Terdahulu industri hiburan Indonesia dikejutkan dengan pemergian penyanyi yang popular dengan lagu Januari itu apabila disahkan meninggal dunia akibat penyakit meningitis pada 8 April lalu.

Kematian Glenn dianggap satu kehilangan besar dalam industri hiburan Indonesia. Ditambah, dia disifatkan memiliki lontaran vokal unik dan lagu-lagu nyanyiannya juga cukup dekat di hati peminat.

Glenn yang tiada galang ganti dalam perjuangan muziknya sungguh berbakat besar dan jasa serta karya lagu ditinggalkan akan terus diingati.

Meninggalkan balu, Mutis Ayu yang dikahwini pada 19 Ogos 2019, Glenn juga mempunyai seorang anak perempuan, Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo, berusia lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:21 AM