Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Ikon media sosial, Faizdickie berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM30,500 dalam tempoh tiga hari daripada pengikutnya di Instagram bagi membantu membayar sewa tapak rumah perlindungan anjing liar yang diuruskan Persatuan Sukarelawan Penyelamat Haiwan (MIAR) di Puchong, Selangor.

Faizdickie berkata, dia terharu apabila dapat mengumpul sumbangan sebanyak itu sekali gus menyelamatkan anjing liar yang berisiko hilang tempat tinggal sekiranya sewaan tapak tidak dijelaskan.

"Minggu lalu saya ada terbaca satu hantaran di Facebook yang mengatakan MIAR memerlukan wang tunai sebanyak RM16,000 untuk membayar sewa tapak sebelum hujung bulan ini. Sekiranya mereka gagal berbuat dimikian, anjing-anjing liar yang tinggal di rumah perlindungan itu kemungkinan akan hilang tempat berlindung.

"Sebenarnya jumlah itu agak besar untuk saya bantu, tapi saya percaya #villagepeople di Instagram saya mampu membuat keajaiban dan Alhamdulillah dalam tempoh tiga hari saya menerima sumbangan lebih dari itu.

"Saya terharu apabila pengikut di Instagram begitu bermurah hati untuk membantu haiwan terbiar. Saya harap sumbangan yang diberikan kepada MIAR semalam dapat menyelamatkan tempat tinggal anjing liar ini dan membantu keperluan lain," katanya.

Faizdickie berkata, walaupun bantuan yang disalurkan untuk membantu anjing liar, tetapi bagiya setiap haiwan perlukan kasih sayang daripada seluruh manusia.

"Kebanyakan anjing yang tinggal di pusat perlindungan itu adalah anjing terbiar. Ada yang cedera, didera, dipukul dan ditinggalkan tuan masing-masing. Jadi di 'rumah' yang disediakan inilah mereka dirawat dan dijaga sehingga sihat.

"Tempat ini juga diuruskan lima pekerja yang masing-masing datang dari keluarga miskin dan ibu tunggal. Namun, mereka memiliki hati yang murni untuk memastikan anjing-anjing ini dijaga dengan baik dan selamat.

"Walaupun sumbangan yang dikumpul untuk tempat tinggal anjing terbiar, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan risiko itu. Lagipun setiap haiwan peliharaan termasuk anjing perlukan kasih sayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:37 PM