JOE dan MK (kiri) turut bergabung dalam lagu Ciao.
JOE dan MK (kiri) turut bergabung dalam lagu Ciao.
Georgie Joseph


SEBAGAI pembuka kalendar seninya tahun depan, penyanyi rap Joe Flizzow bakal melancarkan lagu berjudul Ciao hasil kerjasama dengan penyanyi Korea Selatan, Jay Park dan bintang hip hop muda, MK pada 8 Januari depan.

Apa yang menarik, kerjasama itu membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Korea Selatan dan Singapura di mana komposer dan penyanyi Alyph menggalas tanggungjawab sebagai penerbit.

Justeru, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 41, teruja lebih untuk lagu itu.

Menurutnya, untuk diri sendiri, karya itu bakal menampilkan dimensi berbeza dalam corak penghasilan karyanya.

Dia bakal menunjukkan sisi dirinya yang lebih santai dan tidak serius sebagaimana lagu terdahulunya.

"Banyak yang membuatkan saya teruja dengan lagu ini sebenarnya. Peminat akan nampak Joe Flizzow yang agak berbeza disebabkan lirik saya gunakan bahasa pasar terkini.

"Jika dibandingkan dengan contohnya lagu Kuasa saya sebelum ini, liriknya lebih kepada penggunaan bahasa Melayu yang rasmi. Bagaimanapun, dalam lagu Ciao, saya berevolusi demi memastikan liriknya lebih dekat dengan percakapan seharian serta slanga pasar terkini.

"Bagi saya, itulah resmi yang akan sentiasa berubah dalam pasaran lagu hip hop. Demi kekal relevan, kita kena menggunakan bahasa yang lebih terkini dan tidak anak tirikan bahasa pasar," katanya.

JAY Park.
JAY Park.

Berkongsi mengenai penghasilan lagu itu, Joe berkata, ia sebuah karya yang cukup istimewa kerana menggandingkan generasi berbeza. Paling menyeronokkannya lagu itu terhasil daripada ikatan persahabatan bersama Jay Park dan MK.

Menurutnya, aspek itu jugalah yang memberikan makna tersendiri terhadap kerjasama terbabit. Mana tidak, pembabitan Jay Park sendiri semestinya mampu meninggalkan impak apalagi dia dikenali seluruh dunia.

"Kerjasama menerusi lagu ini ibarat jambatan yang menghubungkan antara generasi berbeza serta berlainan negara. Penghasilannya pun sangat mudah walaupun ditulis sewaktu dalam tempoh krisis Covid-19 ini.

"Ketika itu, kami masing-masing berjauhan di mana MK berada di Kota Kinabalu, manakala Jay Park pula di luar negara. Bagaimanapun, ia siap dalam beberapa hari selepas mereka menghantar rakaman masing-masing kepada saya semula," katanya.

Mengulas bagaimana kerjasama itu terjadi, Joe berkata, dia memang sudah lama menanti peluang dan masa untuk bekerja dengan dua penyanyi terbabit. Akhirnya, impian itu terlaksana dengan penghasilan lagu Ciao.

"Saya dan Jay Park memang sudah lama kenal serta rapat. Biasalah dalam komuniti hip hop ini, kami akan saling bertukar lagu. Dalam albumnya pun, dia ada jemput saya untuk bekerjasama.

"Jadi, ini masa untuk saya pula jemput dia memandangkan ramai peminat saya mungkin cuma kenal dia sebagai penyanyi. Tapi hakikatnya, sebagai penyanyi rap pun, dia memang handal.

"Manakala dengan MK, saya kenalnya ketika menghasilkan 16 Baris dan saya tumpang gembira dengan setiap kejayaannya bersama K-Clique. Untuk projek ini, saya terfikir untuk memasukkan dia juga berikutan sudah jumpa lagu terbaik," katanya.

Mengenai harapan Ciao, Joe Flizzow juga yakin lagu itu akan pergi jauh secara semula jadi di seluruh dunia berikutan kerjasama terbina itu.

Menurutnya, dengan bantuan pengaruh Jay Park dan MK, pastinya capaian pendengar itu lebih luas.

"Lagu ini memiliki personaliti berbeza yang masing-masing cukup kuat. Semuanya terpulang kepada sejauh mana ia akan didengar menerusi pelbagai platform penstriman muzik yang ada sekarang.

"Jay Park sendiri memiliki kekuatan peminat yang cukup luar biasa di seluruh dunia. Saya yakin dengan bantuan daripada aspek itu, tentu sekali ia mampu menembusi pelbagai pasaran di luar.

"Bagi saya, ini adalah sebuah lagu yang bakal membuktikan karya hip hop Asia sangat dahsyat. Misi kami untuk lagu ini tidak lain untuk menunjukkan kualiti artis Asia bukan calang-calang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:15 AM