RAKAN artis dan rakan rapat yang hadir memeriahkan majlis yang diadakan.
RAKAN artis dan rakan rapat yang hadir memeriahkan majlis yang diadakan.
AISYAH dan Azrie Long (kanan) membekalkan mesin oksigen kepada Mek Habshah.
AISYAH dan Azrie Long (kanan) membekalkan mesin oksigen kepada Mek Habshah.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI orang melihat kehidupan penyanyi, pelakon dan pelawak Mek Habsah, 65, agak mewah kerana selain mempunyai pencen bulanan sebagai bekas penjawat awam, dia turut mengusahakan kedai makan di Gombak, Selangor.

Apatah lagi suaminya, Rahamis Hamid, 69, juga mempunyai pencen serupa selepas bersara sebagai anggota polis.

Bagaimanapun di sebaliknya, dia yang pernah menghasilkan album bersama Allahyarham Osman Kering dan Yahya Sulong hidup dalam keadaan sederhana.

"Orang nampak kehidupan saya mewah sedangkan ia hanya cukup untuk tampung kehidupan sahaja. Jawatan saya sebagai penjawat awam bukanlah besar sangat dan pencen pun tak seberapa.

Lagipun dah lebih 20 tahun saya menderita sakit paru-paru kronik dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sekitar lapan tahun lalu, saya terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan oksigen pula termasuk jenis mudah alih dan senang dibawa," katanya.

Mek Habsah atau nama sebenarnya Habsah Bakar berkata, dia terpaksa menggunakan oksigen dan penghawa dingin selama 24 jam setiap hari dan ia memakan kos yang tinggi.

"Bil elektrik, air dan kos-kos lain memang tinggi dan kami bayar dengan wang pencen yang ada. Kena manfaatkan betul-betul. Memang orang takkan percaya bila saya kata tiada duit. Tambah pula mereka tengok saya pakai lawa-lawa. Takkanlah saya nak kena beritahu yang saya tiada duit?

"Pendapatan hasil kedai makan pun tak seberapa. Tambah lagi dengan penularan Covid-19 sekarang memang banyak kerugian dialami," katanya.

Menurutnya, pernah suaminya terpaksa mengeluarkan wang simpanan yang ada untuk membayar gaji dan sewa rumah pekerja sedangkan kedai ditutup.

"Apabila kami buat keputusan menghentikan pekerja dan sekarang kedai diserahkan kepada cucu untuk diuruskan. Lagipun dia ada kemahiran dalam bidang masakan dan sayang kalau bakatnya disia-siakan," katanya.

Mek Habsah mengakui bersyukur dikelilingi insan-insan berhati mulia dan sentiasa membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Terbaru, dia dihadiahkan dua tabung mesin oksigen serta diraikan oleh rakan-rakan sempena ulang tahun kelahirannya pada 8 Januari lalu.

"Syukur kerana saya dapat 'nyawa' iaitu mesin oksigen sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) KitaFund.Com berharga RM7,000 dan sumbangan ikhlas daripada seorang individu kenamaan berharga RM12,000.

"Mesin lama dah rosak dan perlukan kos yang tinggi untuk dibaiki. Ia satu hadiah yang tak ternilai harganya walaupun bukan dalam bentuk wang ringgit.

Syukur juga kepada Allah kerana hadirkan seorang suami yang baik," katanya.

Menurutnya, kadang-kadang dia menangis membayangkan apa nasibnya jika suaminya sudah tiada nanti.

"Siapa nak tolong saya? Allah bagi ujian sakit tapi saya bersyukur sebab Allah hadiahkan seorang suami yang sangat baik, jaga saya siang dan malam.

Basuh dan gosok baju serta mandikan saya. Ke hulu ke hilir, suami tolak saya di atas kerusi roda. Kadang-kadang dia letih, marah juga. Namun bagi saya, kebaikan dia melebihi daripada apa yang ada," katanya.

Sementara itu, wakil KitaFund, Aisyah Shamshun berkata, Mek Habsah adalah artis pertama yang dibantu KitaFund.Com bagi tujuan perubatan.

NGO yang ditubuhkan sejak Mei 2019 ini adalah satu platform atas talian untuk orang ramai mengumpul dana bagi tujuan perubatan, misi kemanusiaan dan pendidikan.

"Mek Habsah ada kerjasama dengan KitaFund dan House of Oxygen, baru-baru ini. Tujuannya untuk kumpul dana bagi mendapatkan mesin oksigen untuknya.

"Walaupun jumlah dana belum mencukupi, kami dan House of Oxygen selaku pembekal mesin oksigen dah sediakan alat ini terlebih dahulu. Sejak penubuhan KitaFund, kita sudah menganjurkan 1,300 kempen pelbagai jenis untuk masyarakat Malaysia," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya kempen dibuat dalam tempoh 30 hari dan akan disambung lagi sekiranya belum mencapai sasaran.

"Orang ramai tak perlu bimbang dengan penubuhan NGO ini kerana KitaFund berdaftar di bawah SSM (Suruhjaya Syarikat Malaysia) sebagai sosial enterprise.

"Kalau ada orang lain yang memerlukan mesin oksigen kita boleh bantu. Untuk masa sekarang, kita juga ada tabung bantuan banjir yang kita buat kerjasama dengan NGO lain di negeri yang dilanda banjir. Sumbangan kepada Mek Habsah boleh dibuat menerusi pautan https://kita.fund/oksigenmamimek," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif House Of Oxygen, Azrie Long turut menghulurkan sumbangan peribadi iaitu wang tunai sebanyak RM2,000 kepada Mek Habsah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:49 AM