X
KERJASAMA padu Kaka dan Jaz bergabung menyanyikan lagu Karma.
KERJASAMA padu Kaka dan Jaz bergabung menyanyikan lagu Karma.
Syafil Syazwan Jefri


KOLABORASI di antara Malaysia dan Indonesia bukan lagi perkara baharu. Kini, giliran karya ciptaan Farouk Roman pula jadi pilihan untuk menemui peminat kedua-dua negara.

Menggabungkan penyanyi dan pelakon tanah air iaitu Kaka Azraff dengan penyanyi kelahiran Brunei yang mencipta nama di Indonesia, Jaz, karya berjudul Karma ini mendapat sentuhan lirik daripada penulis dan penyanyi, Aisha Retno.

Bagi Kaka, walaupun lari daripada kebiasaan, dia umpama jatuh cinta pandang pertama tatkala diperdengarkan lagu berentak balada ini.

"Melodi dan susunan muzik lagu Karma ini sememangnya merdu dan secara peribadi, saya rasa ia adalah karya balada yang sangat berkualiti," katanya.

Mengakui bahawa lagu Karma lari jauh daripada forte muziknya, Kaka menganggap penghasilan karya ini menampilkan sisi berbeza dirinya.

"Karma sangat berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya rakamkan sebelum ini. Saya sendiri tidak pernah terbayang akan menyanyikan lagu sebegini.

"Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan keputusan untuk menyanyikannya kerana secara tak langsung, ia menunjukkan sisi lain Kaka Azraff," katanya.

Selain itu, lagu Karma juga umpama satu ruang untuk Kaka membuktikan kemampuan vokalnya menyanyikan lagu berentak balada.

"Ia adalah lagu balada pertama yang benar-benar menunjukkan kemampuan vokal saya di samping dibantu oleh Afif Tirmizie selaku pengarah vokal yang memudahkan nyanyian saya," katanya.

Walaupun terhalang jarak, proses rakaman antara Kaka dengan Jaz berjalan dengan lancar.

"Sebenarnya, saya tidak berjumpa dan berhubung dengan Jaz. Kami merakamkan lagu ini secara berasingan memandangkan situasi krisis Covid-19 sekarang dan Jaz terima audio yang sudah ada rakaman vokal saya," katanya.

Sementara itu, Jaz yang sebelum ini popular dengan lagi Dari Mata itu turut berkongsi rasa yang sama dengan Kaka.

"Kebiasaannya, lagu saya adalah yang berentak santai dan riang. Namun, menerusi lagu ini, saya benar-benar melakukan sesuatu yang di luar genre sendiri.

"Bahagian paling susah adalah harmoni antara nyanyian kami berdua. Terima kasih pengarah vokal saya, Danish yang banyak membantu melancarkan nyanyian saya.

"Cabaran lain adalah kerana ia lagu genre balada yang perlu penjiwaan berat, di mana saya sendiri secara peribadi lebih terbiasa dengan melodi riang," katanya.

Yang pasti, Jaz bagaimanapun berpuas hati dengan hasil akhir karya terbaharunya yang berganding dengan Kaka ini.

"Alhamdulillah, saya sudah mendengar hasilnya dan sangat berpuas hati. Mudah-mudahan lagu ini bakal diterima baik pendengar di Malaysia," katanya.

Lagu Karma ini juga menjadi lagu tema untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan pengarah berkaliber, Shahrulezad Mohameddin.

Drama yang dibintangi Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong itu bakal mengisi slot Samarinda TV3 bermula sekitar Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:28 AM