TEMPOH berpantang isteri ketika PKP beri kelebihan kepada seluruh keluarga.
TEMPOH berpantang isteri ketika PKP beri kelebihan kepada seluruh keluarga.
Syafil Syazwan Jefri

MENIMANG cahaya mata pada usia 53 tahun tentunya menjadi cabaran baharu buat penyanyi dan pelakon, Datuk Awie.

Tanggal 18 Januari lalu, tepat jam 4.04 petang, dia dikurniakan bayi lelaki hasil perkahwinannya dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin.

Bayi lelaki yang juga anak keenam Awie itu dilahirkan dengan berat 3.08 kilogram.

Awie ketika ditemui berkata, dengan kehadiran cahaya mata keenam itu juga, dia mencabar dirinya untuk sentiasa mengekalkan kecergasan.

"Syukur kerana pada usia 'melintas Maghrib' ini, tiba-tiba saya dikurniakan rezeki anak. Apa yang penting, saya kena terus jaga kesihatan dan kecergasan tubuh badan.

"Bukan apa. Saya takut nanti kalau kawan anak saya hairan, sama ada saya ini bapa atau datuknya," katanya berseloroh.

Ditanya mengenai nama untuk bayi lelakinya, Awie berkata, dia dan isteri belum memberikan sebarang nama.

"Buat masa sekarang, kami belum berikan nama untuk bayi kami. Tapi, di depannya akan ada nama Putra Ahmad dan nama seterusnya akan diberikan nanti," katanya.

Berkongsi mengenai proses kelahiran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi pengalaman baharu buatnya.

"Sebelum isteri saya masuk ke ruang pembedahan, dia perlu menjalani ujian swab Covid-19 terlebih dahulu. Begitu juga dengan saya dan sesiapa yang akan menemaninya.

"Setiap jururawat dan doktor yang bertugas juga memakai pakaian dan peralatan yang sesuai seperti pelitup muka serta pelindung muka untuk tujuan keselamatan. Alhamdulillah, kami sekeluarga semuanya negatif," katanya.

Menjalani tempoh berpantang dalam PKP juga memberikan kelebihan buat isteri dan keluarganya.

"Bagus juga sebenarnya apabila proses berpantang dalam tempoh PKP kerana kami sekeluarga akan berada di rumah. Jadi, banyak benda lebih mudah untuk diuruskan.

"Anak saya yang lain pun akan berada di rumah, cumanya bila sudah ada bayi, prosedur operasi standard (SOP) di rumah pun akan lebih diperketatkan," katanya.

Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016.

Sebelum ini, Awie pernah berkahwin dengan penyanyi, Arni Nazira pada 1998 dan dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 20, dan Puteri Aleefa Antasha, 18.

Selepas gagal dengan perkahwinan pertama, Awie berkahwin dengan Rozana Misbun pada 2006 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 12, Putra Ahmad Rezzki, 11, dan Puteri Qasseh Antasha, 9. Namun, mereka bercerai pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:45 AM