X
IRON. FOTO Yonhap
IRON. FOTO Yonhap
Agensi 

Seoul: Belum pun reda dengan kisah kematian pelakon Song Yu Jung pada Sabtu lalu, kini peminat bintang dari Korea Selatan dikejutkan pula dengan berita kematian penyanyi rap dikenali Iron, 29, yang ditemui meninggal dunia, semalam.

Menurut agensi berita Yonhap, Iron ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di luar pangsapuri kediamannya sekitar jam 10.25 pagi.

Dia kemudian dibawa ke hospital dan disahkan sudah meninggal dunia.

Jurucakap polis berkata, Iron atau nama sebenarnya Chung Heon-chul, dijumpai terbaring di kawasan perumahan dalam keadaan berlumuran darah.

Polis kini masih membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca kematiannya. 

Nama Iron mula terkenal selepas muncul naib juara dalam pertandingan realiti TV, Show Me The Money pada 2014.

Dia juga pernah menghadapi beberapa skandal dan kontroversi sebelum ini. 

Pada Disember 2019, Iron ditahan atas dakwaan menyerang dan memukul rakan sebiliknya yang berusia 18 tahun menggunakan kayu besbol.

Rakan sebiliknya itu dikatakan salah seorang pelajar Iron yang tinggal bersamanya untuk belajar muzik.

Terdahulu, Iron  juga dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan kerana menumbuk bekas kekasihnya pada 2016. Selain itu, dia juga ditahan kerana terbabit dengan ganja pada tahun sama. 

Iron dijatuhi hukuman penjara di atas kesalahan memiliki ganja dan didenda sebanyak USD4,535 (RM18,369) kerana menyebarkan berita palsu mengenai bekas kekasihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 12:42 PM