Sharul Kamal
Sharul Kamal
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Sharul Kamal mengakui kecewa apabila sering disamakan baik dari segi penampilan atau persembahan dengan penyanyi kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad.

Sharul berkata, perkara itu memberi kesan terhadap kerjaya nyanyiannya sehinggakan ada pihak yang tidak berani menawarkannya tawaran nyanyian.

"Memang dari awal orang sudah samakan dengan Akim. Namun, saya tak rasa apa-apa dan menganggap ia satu pujian, tetapi lama-kelamaan saya perasan ia memberi kesan kepada kerjaya saya. Malah, ada yang tak nak tengok saya sebab katanya tak ada identiti sendiri dan tiru Akim.

"Ada juga pihak yang tak berani nak ambil saya bekerja sebab cakap saya seperti Akim. Jadi, saya rasa perkara ini tak okay. Disebabkan itu, tahun ini saya cuba ubah gaya dengan kerintingkan rambut dan nak ketengahkan konsep yang tak sama langsung dengan Akim, tetapi tetap disamakan. Jadi saya agak kecewa sikit di situ," katanya kepada Harian Metro.

Sharul yang muncul dengan single berjudul Maaf berkata, dia mengambil pendekatan dengan meluahkan perkara itu di Instagram.

Malah, Sharul turut memuat naik hantaran memaparkan dirinya memotong rambut yang dikatakan sebagai tanda kecewa.

"Saya tak tahan, saya suarakan di Instagram. Tidak sangka ramai yang respon dengan mesej peribadi (DM), menghubungi dan mesej di WhatsApp. Saya jadi terkejut.

"Soal botakkan kepala itu, memang saya sudah tak tahan sebenarnya dengan rambut kerinting. Ada terfikir nak pergi salun untuk pendekkan bagi selesa sikit, tapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula. Jadi, saya botakkan sendiri kepala saya.

"Nak kata sebab 'down', tak pun sebenarnya. Tujuan saya buat bukan sebab nak tunjuk perasaan tapi memang tak tahan. Kebetulan isu tengah hangat ketika itu, saya muat naiklah dengan kapsyen 'baru tak sama'. Saya sengaja nak bagi orang yang suka lemahkan semangat orang ini terasa," katanya.

Menurut Sharul, tindakannya itu berjaya apabila ramai yang mesej meminta maaf.

"Perkara itu berkesan sebenarnya. Ada beberapa individu menghantar DM meminta maaf sebab selama ini selalu samakan saya dengan Akim. Dia tak sangka saya sampai sanggup botakkan kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 8:47 PM