ERIN CTJ tampil dengan single solo berjudul Arjuna sekitar tiga bulan lalu.
ERIN CTJ tampil dengan single solo berjudul Arjuna sekitar tiga bulan lalu.
Norhayati Nordin


SEPATUTNYA dia sudah boleh menarik nafas lega untuk memberi tumpuan pada kerjaya seni, namun tahun ini penyanyi baharu dikenali Erin CTJ akur perlu menumpukan perhatian untuk pelajarannya.

Gadis berusia 17 tahun ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi dan tekad mahu berjaya dalam pelajaran.

"Bagi saya, kejayaan dalam SPM sangat penting dan saya akan berusaha sebaik mungkin dalam pelajaran. Biarpun hingga kini pandemik Covid-19 belum berakhir, kehidupan harus dijalani seperti biasa.

"Jadi, sekarang masanya saya memberi tumpuan seketika pada pelajaran. Kalau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, saya boleh beri ruang untuk nyanyian, sekarang saya utamakan pelajaran pula.

"Saya mahu berjaya dengan tahap yang terbaik dalam SPM berikutan lama juga ditangguhkan. Apatah lagi, impian saya untuk berjaya juga dalam pendidikan," katanya.

Erin atau nama sebenarnya Siti Erin Syaheera Jamaluddin menceburi bidang nyanyian sejak kanak-kanak kerana minat mendalam. Namun, perjalanan untuk dia menempa kejayaan masih jauh.

Sudah menyertai banyak pertandingan nyanyian hingga ke Indonesia bersaing dalam D'Academy Dangdut Asia pada 2019, Erin berkata, dia seorang yang berdikari dan suka menimba pengalaman.

"Minat saya pada nyanyian sangat dalam, jadi apa sahaja pertandingan menyanyi dianjurkan, saya nak cuba. Menang atau kalah, adat bertanding tapi saya suka mencabar diri.

"Saya memang teringin menjadi penyanyi yang berjaya dan dikenali ramai, namun setiap orang itu perjalanan mengejar impiannya berbeza. Ada yang cepat terkenal dan sebaliknya.

"Semua bergantung pada rezeki, untuk saya mungkin perlu melipatgandakan usaha hingga berjaya. Namun, saya berharap sentiasa mendapat peluang untuk terus mencuba," katanya.

Tahun lalu, Erin muncul dengan single solo berjudul Arjuna ciptaan Ejai Aziz iaitu sebuah lagu genre rock dangdut dengan melodi dan lirik yang 'catchy'.

"Lagu itu mengisahkan perasaan cinta mengenai seorang wanita yang ada menyimpan kasih dan sayang terhadap lelaki idamannya.

"Saya tertarik pada melodi dan lirik lagu Arjuna ini kerana kena dengan jiwa. Saya selesa sewaktu merakamkan lagu ini pada Jun lalu dan alhamdulillah urusan berjalan lancar," katanya.

Lagu Arjuna yang sudah dilancarkan di semua platform muzik sekitar tiga bulan lalu boleh ditonton video muziknya di YouTube. Hingga kini, video muzik lagu ini sudah mencatat lebih 89,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:44 AM