Demi Lovato
Demi Lovato
Agensi

Los Angeles: Penyanyi terkenal Hollywood, Demi Lovato mendedahkan dia hampir kehilangan nyawa akibat pengambilan dadah secara berlebihan.

   Kejadian itu diceritakannya menerusi trailer dari tayangan dokumentari berjudul Demi Lovato: Dancing with the Devil, yang disiarkan di YouTube.

   Dalam video terbabit, penyanyi lagu Skyscrapper itu mengakui ketika berada di hospital, dia mengalami pelbagai kejadian mengerikan.

   Menurut People, Demi memberitahu dia terkena strok sebanyak tiga kali dan juga mengalami serangan jantung.

   "Saya mengalami kerosakan otak, dan masih merasakan kesannya sampai sekarang. Kini, saya juga tidak boleh memandu kerana saya mempunyai titik buta dalam pandangan," katanya dalam tayangan itu.

   Selain masalah terbabit, Demi Lovato juga berkongsi kesan negatif lain yang menyerang penglihatannya.

   "Saya juga mengalami kesukaran membaca dalam tempoh sangat lama. Tapi, dua bulan lalu saya akhirnya mampu membaca sebuah buku dan ia dianggap satu pencapaian besar kerana masalah penglihatan dialami amat teruk," katanya.

   Menurut Demi, dia masih mengingati perkara terbabit sehingga sekarang dan enggan mengulanginya.

   "Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak perlu menjalani sesi pemulihan. Saya menyesal dengan peristiwa yang hampir meragut nyawa itu dan mengakui semua yang berlaku menjadi pengajaran pada diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 1:14 PM