ZAFRI sentiasa optimistik dengan rekaannya untuk bersaing dalam industri. FOTO Rosdan Wahid.
Hafiz Ithnin


“KETIKA zaman susah dahulu, kereta saya pernah kena tarik, televisyen dan sistem audio di rumah pun kena tarik,” katanya mengimbau kisah getir 21 tahun dahulu.

Segala-galanya akibat kegawatan ekonomi negara pada 1998.

Sebagai pekerja yang baru diambil, dia adalah pekerja terawal yang dipilih untuk disingkirkan daripada syarikat.

Pastinya menghadapi masalah kewangan pada usia muda begitu mencabar. Apatah lagi, dalam zaman kegawatan ekonomi begitu sukar baginya untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Bermula daripada kisah itu, beliau yang kini pemilik syarikat penyedia rumusan reka bentuk dalaman, Ideation Sdn Bhd (Ideation), Zafri Zakaria Merican tidak mahu ada istilah hutang di dalam hidupnya.

Kini, anak kelahiran Pulau Pinang itu mampu tersenyum puas dengan pelbagai projek yang dihasilkannya.

Apatah lagi, projek mereka bentuk dalaman mampu menyediakan rumusan menyeluruh mendapat kepercayaan syarikat gergasi asing menggunakan perkhidmatannya.

Ketika bertemu dengan Zafri di pejabatnya di Gombak, Selangor, dia kelihatan sibuk menelaah buku-buku rekaan dalaman bagi mendapatkan idea yang boleh diterapkan dalam projek terbaru daripada sebuah syarikat automotif mewah antarabangsa.


ZAFRI (duduk kanan) menunjukkan pelbagai sijil dan anugerah yang diterimanya.

“Beginilah keadaan saya. Kalau saya di pejabat masa yang ada digunakan untuk memantau operasi syarikat secara menyeluruh termasuklah memastikan idea dan reka bentuk dihasilkan adalah terbaik serta sesuai dengan konsep diingini pelanggan.

“Tidak mudah untuk bergelar jurureka industri. Ada banyak pesaing dan hanya hasil terbaik serta tawaran harga yang berpatutan sahaja mampu mendapat projek baru,” katanya yang pernah berjaya merangkul Malaysia Good Design Mark Award 2013.

Aktiviti bertukang sememangnya sudah sebati dengan jiwa Zafri sejak zaman kanak-kanak. Minatnya semakin mendalam ketika tingkatan satu hingga tiga terdapat subjek seni perusahaan.

Katanya, sebaik tamat di Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, dia belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Sarjana Muda Rekabentuk Industri sehingga 1995.

“Sebenarnya sejak kecil saya hendak jadi tukang kayu dan benda-benda ini semua (sambil menunjukkan rekaan hiasan dalaman dan rumusan digital di atas mejanya) tidak ada langsung dalam senarai cita-cita.

“Saya mula bekerja di sebuah syarikat membuat perabot sebagai jurureka.

“Ketika bekerja, saya sedar sebenarnya banyak cabang perniagaan boleh dikembangkan dengan bakat yang saya miliki,” katanya.

Tambahnya, ketika bekerja sebagai jurureka perabot, dia menerokai rekaan hiasan dalaman dan memberitahu majikan kemampuan bidang itu untuk dijadikan sebagai portfolio perniagaan terbaru syarikat.

“Bagaimanapun, majikan saya tidak bersetuju kerana dalam perniagaan dia enggan mengambil risiko dan sudah selesa dengan kerja-kerja membabitkan kontrak kerajaan kerana ketika itu menjadi pembekal perabot untuk sektor kerajaan,” katanya.

Jelasnya, berkhidmat untuk beberapa syarikat di dalam bidang itu selama belasan tahun dan akhirnya berasakan idea serta bakat dimiliki tidak boleh dikembangkan kerana terikat dengan perniagaan yang bukan miliknya.

“Pada 2010, saya membuka syarikat sendiri dengan modal RM17,000 iaitu duit simpanan selama saya bekerja.

“Pada awal memulakan perniagaan sendiri, saya tidak ada pejabat pun.


KELUARGA menjadi nadi kepada Zafri untuk memajukan perniagaan.

“Rakan baik, Rashidi meminjamkan bilik di pejabatnya untuk saya membuat kerja dan berjumpa pelanggan yang sebenarnya satu sudut di dalam biliknya,” katanya tertawa mengingat kembali kisah berkenaan.

Zafri memberitahu nama syarikatnya, Ideation bermaksud proses atau aktiviti mencari idea yang menjadi asas utama di syarikat ini.

Setakat ini, syarikatnya sudah membuat rumusan hiasan dalaman antara 70 hingga 80 projek sejak 2010 membabitkan pelbagai segmen industri seperti hospital, perpustakaan, bangunan pejabat, bilik pameran dan pelbagai lagi.

Katanya, perkara paling menggembirakan tahun lalu, syarikatnya mampu mencatatkan jualan melebihi RM10 juta.

Jelasnya, meskipun nilai wang menjadi penanda aras kejayaan syarikat tetapi dia tidak melihat ia sebagai kejayaan utama.

“Bagi syarikat Bumiputera dan saya sebenarnya tidak ada asas dalam bidang rumusan hiasan dalaman, nilai jualan itu membuktikan usaha dilakukan bersama ahli lembaga pengarah yang lain iaitu Amir Azizi Sanip dan Rina Sarmila serta kakitangan lain membuahkan hasil.

“Namun, saya tidak suka menjadi hamba duit. Dalam bekerja saya amalkan pelanggan perlu berpuas hati dan melaksanakan sesuatu projek sehingga pelanggan kata ikhlas kerana berpuas hati untuk membayarnya,” katanya yang mempunyai 18 orang kakitangan.

Menurutnya, setiap kakitangan mempunyai tanggungjawab termasuk pengurusan projek, kontrak, kewangan dan sebagainya.

Katanya, dia tidak mahu terlalu sibuk dengan hal yang sudah diberi tanggungjawab kepada orang lain.

“Bagaimanapun, sebagai pemilik, kita juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui aliran tunai bagi memastikan operasi perniagaan dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Meskipun bergelar pemilik syarikat, menurutnya, dia bukan seorang yang terlalu mementingkan wang dalam menjalankan perniagaan kerana lebih mengutamakan perkhidmatan serta kualiti kerja yang akan dibentangkan kepada pelanggan.

Menceritakan individu yang menjadi latar belakang hidupnya bergelar usahawan, pastinya ibu dan bapanya, Faridah Pawanchik dan Zakaria Merican Ishak Merican.

Selain itu, isteri tersayang, Hazura Zainal yang turut terbabit di dalam industri itu secara langsung.

“Sebenarnya isteri saya juga adalah pereka dalaman. Memandangkan dia mempunyai kepakaran di dalam bidang hiasan dalaman ini, Hazura sering mendapat jemputan untuk membuat perkongsian dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi.

“Memandangkan dia lebih berminat untuk mengajar, isteri menjadi pensyarah sepenuh masa dan saya meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Di akhir temubual, Zafri memberitahu, keikhlasan dan usaha adalah elemen penting dalam menjadikan apa dirinya pada hari ini.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata ini turut mengamalkan perkongsian rezeki menurut Islam bagi memastikan keberkatan perniagaannya.


MENERIMA anugerah Malaysia Good Design Mark Award 2013 antara pencapaian yang dibanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 7:58 AM