KETIKA menyertai kejohanan dalam negara.
Helmy Abd Rahman


DUA cabaran berbeza dalam bidang sama, namun tetap menyerlahkan kemampuan dan karisma jejaka berasal dari ibu kota ini.

Ku Anas Ku Zamil, 28, bukan nama asing dalam sukan perahu layar negara apabila memperoleh emas dalam beberapa kejohanan.

Ternyata bakat dan komitmennya yang sentiasa memberikan usaha terbaik, membolehkan ‘jodohnya’ dengan sukan ini masih panjang apabila diberi tugas sebagai jurulatih perahu layar di Majlis Sukan Negeri Terengganu sejak 2015.

“Saya mula ceburi sukan ini sejak 2003 hinggalah 2015. Pada 2015 saya ditawarkan tugas sebagai jurulatih perahu layar untuk pasukan muda Terengganu dan saya sahut cabaran itu.

“Kedua-dua bidang bagi saya sama mencabar walaupun terdapat perbezaan.

“Jurulatih lebih menumpukan untuk kejayaan pasukan manakala sebagai atlet kita lebih fokus untuk pamerkan prestasi terbaik.

“Sukan perahu layar sudah sebati dalam jiwa saya, mungkin diturunkan daripada ayah yang juga bekas jurulatih pasukan perahu layar Kuala Lumpur pada 2010.

“Selain saya dan ayah, kakak dan dua adik lelaki turut aktif dalam sukan ini.

“Kakak, Ku Anis, 32, adalah atlet kebangsaan,” ujar Ku Anas yang masih belum berumahtangga.

Tegasnya, dia tidak menyesal merantau ke Pantai Timur dan terpaksa berjauhan daripada keluarga kerana sejak awal lagi sudah bertekad untuk memartabatkan sukan perahu layar di negara ini.

“Apatah lagi di Terengganu ramai anak remaja berbakat dalam sukan ini.

“Terdapat banyak nama yang berani saya katakan antara 10 terbaik di negara ini mengikut kategori usia masing-masing.

“Apa yang boleh saya katakan, mereka bukan sahaja berbakat besar, malah mempunyai keazaman tinggi untuk menjadi yang terbaik.


KU Anas memberi penerangan kepada pelatih sebelum memulakan latihan.

“Jangan hairan sekiranya dalam tempoh beberapa tahun lagi, barisan nama atlet kelahiran Terengganu meniti di bibir peminat sukan perahu layar dunia.

“Untuk memastikan semua atlet yang saya latih sentiasa dalam prestasi terbaik, mereka dikehendaki berlatih enam hari seminggu.

“Dalam sehari saya tetapkan latihan di air antara dua hingga tiga jam selain di gimnasium,” kata lulusan Diploma Pengajian Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Ditanya pengalaman manis sepanjang berkecimpung dalam sukan ini, Ku Anas memberitahu, ia hadir ketika dia sudah menjadi jurulatih.

“Momen paling bernilai itu datang pada kejohanan SUKMA (Sukan Malaysia) 2018 apabila anak didik saya memperoleh lapan emas manakala pasukan wanita Terengganu dinobatkan pasukan terbaik.

“Terasa pengorbanan dan segala ilmu yang dicurahkan amat berbaloi, mendapat keberkatan daripada Ilahi. Tidak pernah rasanya saya berasa begitu teruja.

“Ketika menjadi atlet, banyak juga kenangan manis, tetapi yang paling saya ingat ialah ketika menjadi jurulatih,” jelasnya.

Tambahnya, dia berharap sukan ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan anak muda dan kerana itu kini aktif mempromosikan sukan perahu layar di peringkat sekolah.

“Sekarang saya bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melahirkan lebih ramai atlet dan mengajar mereka asas pelayaran dengan memasukkan sukan ini menjadi sebahagian daripada subjek pembelajaran di sekolah dan universiti.

“Saya ingin sekali melihat lebih ramai anak muda terbabit dalam sukan ini.

“Sukan perahu layar amat teknikal dan memerlukan kita menggunakan fizikal serta mental secara maksimum, justeru langkah awal yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan atlet berkaliber adalah dengan mengadakan program bersama di sekolah dan universiti.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan diterima amat baik dan positif,” ujar anak kedua daripada lima beradik ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:30 AM