GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SEJAK akhir-akhir ini istilah ‘palatau’ menjadi popular dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.

Istilah yang dikatakan berasal daripada gabungan perkataan ‘kepala tahu’ diguna untuk merujuk kepada seseorang yang suka bercakap tentang sesuatu perkara seakan-akan dia seorang pakar sedangkan dia tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam berkenaan perkara yang dikatakan.

Sejak berita penularan koronavirus baharu (2019-nCOV) menggemparkan dunia beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, muncul ramai ‘pakar jadian’ menunjukkan ‘kepandaian’ mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter serta laman sembang Whatsapp.

Golongan ‘palatau’ ini cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan bercakap berdasarkan pendapat atau telahan peribadi semata-mata.

Mereka juga yang berpotensi besar menyebarkan berita palsu atau mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif tidak berasaskan fakta sehingga menimbulkan rasa cemas serta resah anggota masyarakat.

Malangnya dek kerana kenyataan mereka di media sosial biasanya bersifat sensasi, ia mendapat banyak ‘like’ dan dikongsi ramai sehingga menimbulkan persepsi salah dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, pada minggu lalu, berbekalkan gambar atau video yang entah dari mana datangnya, golongan palatau ini sebar dan dakwa penyakit koronavirus ini sudah menular di beberapa negeri di Malaysia.

Walhal pada waktu itu, Malaysia baru sahaja mengumumkan proses kuarantin tiga warga China yang masuk ke negara ini dari Singapura melalui Johor. Belum pun disahkan berpenyakit, sudah heboh di seluruh negara kononnya Malaysia sengaja membiarkan pesakit ini masuk.

Kerjasama jentera kerajaan

Penghargaan besar selayaknya diberikan kepada semua jentera kerajaan yang bertungkus lumus memerangi penularan berita palsu ini.

Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui semua saluran media sosial mereka tidak berhenti-henti menyiarkan maklumat penafian ‘berita’ dan dakwaan tidak berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab.

Tidak cukup dengan itu, KKM turut menyiarkan statistik terkini perkembangan koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia, video pencegahan virus serta kenyataan akhbar daripada pihak kementerian agar masyarakat hanya mendapatkan maklumat sahih.

Surujanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula bertindak tegas untuk tidak memberi ruang kepada penyebar berita palsu daripada terus berleluasa, Tindakan yang dikenakan ke atas pihak yang terlibat hendaknya menjadi pelajaran supaya tidak ada lagi penyebar berita palsu.

Sehingga artikel ini ditulis, Kementerian Kesihatan telah menafikan 19 berita palsu berkenaan isu koronavirus manakala PDRM pula sudah menahan enam individu kerana menyebarkan berita palsu berkenaan penyakit itu.

Kesemua pendakwaan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di samping itu laman sesawang Sebenarnya.my turut menjadi wadah menyebar maklumat tepat berkenaan perkembangan isu koronaviru dan menafikan berita palsu.

Media tempatan juga turut menyumbang ke arah usaha memerangi berita palsu ini. Agensi penerbitan berita kerajaan seperti Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia menggunakan semua platform mereka untuk memberi maklumat tepat kepada rakyat.

Tidak dilupakan juga peranan agensi penerbitan berita swasta yang turut memainkan peranan menyiarkan pelbagai bahan berkaitan koronavirus serta memastikan kesahihan berita yang disiarkan demi kebaikan bersama.



Coronapalatau

Kesedaran diri untuk melawan penularan berita palsu memberi ilham kepada pereka grafik, Faris Akmal Faizal dan mahasiswa bidang farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azahari Azizi untuk menghasilkan poster unik menyindir golongan ‘palatau’.

Poster ‘Virus Coronapalatau’ rekaan mereka menggabungkan perkataan ‘corona’ dan ‘palatau’ dengan definisi ‘sebuah virus yang tiba-tiba muncul dalam kepala otak sebilangan besar manusia menjadikan mereka pakar dalam setiap perkara’ mencuit hati banyak pengguna media sosial sehingga dikongsi lebih 3,000 pengguna Facebook dan Instagram.

Tambah mencuit hati apabila poster itu turut menyenaraikan gejala serta tip keselamatan menghadapi virus rekaan itu.

“Saya percaya bahawa poster lebih mudah untuk disebar luas dan membuat warga maya berfikir dahulu sebelum menyebarkan apa-apa berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Saya juga berharap agar kita sama-sama dapat mendidik masyarakat menggunakan kepakaran yang kita ada untuk menjadi sebuah komuniti yang tidak mudah menerima dan menyebarkan berita yg tidak sahih apatah lagi ketika berlakunya isu yang melibatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” kata beliau kepada Bernama.

Portal khusus

Bagi sekumpulan saintis Malaysia, sumbangan mereka dalam memerangi berita palsu adalah dengan membina laman sesawang menyalurkan maklumat tepat tentang perkembangan isu koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia.

“Berdasarkan sumber maklumat yang disahkan kesahihannya, langkah persediaan boleh dilakukan untuk melindungi diri dan orang lain. Cetusan panik lantaran penyebaran maklumat palsu boleh dielakkan berikutan saranan pencegahan efektif dan maklumat sahih dari pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini merupakan misi utama penubuhan kumpulan sukarelawan Corona Tracker,” kata pengasas laman sesawang CoronaTracker Dr Lau Cher Han.

Laman CoronaTracker dibangunkan oleh Dr Lau yang berpangkalan di Pulau Pinang bersama 400 sukarelawan dari Malaysia dan beberapa negara lain seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat dan Botswana.

Melalui laman ini, orang ramai boleh mengetahui jumlah bilangan kes yang dikenal pasti, bilangan kes kematian, kes disyaki dan kes yang disembuhkan di seluruh dunia.

Ia turut menghimpunkan berita berkaitan koronavirus dari seluruh dunia untuk memudahkan rujukan pengguna.

Syukurlah, akhirnya rakyat Malaysia bersatu hati melawan berita palsu!

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 8:51 PM