PENDUDUK Hong Kong membuat pembelian panik selepas tersebar laporan palsu bekalan tisu tandas akan berkurangan.  FOTO AFP
PENDUDUK Hong Kong membuat pembelian panik selepas tersebar laporan palsu bekalan tisu tandas akan berkurangan. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


DUA hari lalu, pengguna di Hong Kong berpusu-pusu ke pasar raya untuk mendapatkan antaranya, tisu tandas, beras dan pasta. Imej dipaparkan di stesen televisyen tempatan menunjukkan orang ramai berlumba-lumba mengisi troli dengan timbunan tisu tandas sehingga ada yang bergaduh semata-mata untuk menjadi pembeli produk itu.

Di Wanchai, daerah tengah Hong Kong, ada pasar raya yang kehabisan tisu tandas dalam tempoh setengah jam selepas premis itu diserbu orang ramai. AFP melaporkan penduduknya membuat pembelian panik itu kerana percaya dengan laporan bahawa bekalan produk itu akan berkurangan susulan penularan wabak koronavirus baharu di China.

Di platform media sosial pula, terdapat dakwaan bahawa virus itu boleh disembuhkan hanya dalam tempoh satu malam hanya jika individu minum air bawang segar. Hantaran sejak 31 Januari lalu itu sudah dikongsi beratus kali di Facebook (FB), Twitter dan YouTube. Susulan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang minuman herba tidak akan menyembuhkan virus berkenaan.

Selain itu, muncul pula dakwaan bahawa pembersih Dettol berkesan untuk membunuh virus berkenaan. Hantaran yang dimuat naik pada 30 Januari lalu itu pula sudah dikongsi lebih 44,000 kali hingga memaksa pengeluar produk mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah membuat dakwaan berhubung perkara berkenaan.

Ini belum lagi dikira dengan penularan pelbagai mesej menerusi WhatsApp termasuk yang mendakwa terdapat kotak berisi sisa biobahaya ditemui di bangunan Konsulat Amerika Syarikat di Wuhan selepas proses evakuasi rakyat negara itu. Ia sekali gus menimbulkan pelbagai teori konspirasi berhubung kewujudan virus berkenaan.

Sedar tidak sedar, masyarakat kini lebih terdedah kepada risiko lebih besar iaitu untuk ‘dijangkiti’ wabak berita palsu koronavirus baharu yang berleluasa di media sosial dan aplikasi telefon bimbit. Ia disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang gemar memuat naik atau berkongsi hantaran yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Menyedari bahaya wabak berita palsu ini, aplikasi dan media sosial utama mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai polisi bagi mengekang maklumat tidak tepat berhubung koronavirus baharu. Sebagai contoh, FB, Twitter dan TikTok, antara media sosial terawal yang mengambil langkah berterusan bagi mengekang penularan hantaran berita palsu berhubung koronavirus.

Di FB, laman sosial ini memfokuskan usaha untuk memadam maklumat palsu dan teori konspirasi yang dimuat naik atau dikongsi oleh penggunanya. Ia termasuk dakwaan bahawa individu yang dijangkiti virus ini boleh sembuh hanya dengan menggunakan bahan tertentu tanpa disokong dengan bukti saintifik.

Instagram yang dimiliki oleh FB turut mengambil langkah sama dengan menghalang pengguna memuat naik tanda pagar tertentu berkaitan dengan koronavirus. WhatsApp yang turut dimiliki FB pula tidak lagi membenarkan satu mesej dikongsi kepada lebih lima pengguna pada satu-satu masa. Ia antara lain bertujuan untuk mengelak penyebaran berita palsu.

Dalam pada itu, Twitter pada 1 Februari lalu menyatakan ada 15 juta ciapan berhubung koronavirus baharu dalam tempoh empat minggu kebelakangan ini. Bagi mengekang maklumat palsu, ia menggalakkan penggunanya merujuk kepada saluran rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Pusat Kawalan Penyakit (CDC).

Pada masa sama, setiap kali pengguna Twitter melakukan carian berhubung koronavirus baharu, Twitter akan memaparkan tajuk Know the facts. Ia bagi memberikan pengguna maklumat tepat berhubung wabak berkenaan.

TikTok aplikasi dari China dan kini menjadi antara platform media sosial paling digemari oleh generasi muda tidak terkecuali memainkan peranannya dalam hal ini dengan mempromosikan laman web WHO dan menggesa pengguna membuat laporan jika ada individu yang memuat naik video yang diragui kesahihannya.

YouTube pula menyertai perang terhadap berita palsu koronavirus baharu ini dengan mengingatkan pengguna bahawa kandungan dalam platform berkenaan mungkin berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan laporan wabak itu.

Bagaimanapun, polisi yang diperkenalkan menerusi semua media sosial berkenaan tidak akan berkesan jika pengguna sendiri tidak mahu menggunakan platform itu dengan cara berhemah. Mereka perlu sedar individu bertanggungjawab terhadap setiap perkataan yang dikeluarkan di mana-mana platform media sosial.

Justeru, kerajaan tidak kira China, Malaysia atau mana-mana negara sekalipun terpaksa mengambil langkah tegas dengan menguatkuasakan undang-undang bagi mendakwa penyebar berita palsu. Ia sebagai langkah proaktif untuk mengekang tindakan pihak yang gemar memuat naik hantaran tanpa memikirkan kesan perbuatan mereka.

Ini memandangkan adalah tidak adil jika individu membuat hantaran di media sosial tanpa usul periksa yang pada akhirnya hanya akan menimbulkan syak wasangka dan ketidaktenteraman. Tanpa mengira status atau populariti, undang-undang perlu ditegakkan untuk mengesan pihak yang terbabit dengan aktiviti sedemikian.

Semua pihak juga perlu sedar bahawa kesan berita palsu lebih besar berbanding risiko penularan wabak berkenaan. Maklumat tidak tepat hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi tidak berasas dan kebimbangan yang boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan masyarakat. Seperti yang sering diingatkan menerusi peribahasa Melayu lama terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.


>>Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 12:02 PM