GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Syarifah Dayana Syed Bakri


MINGGU lalu saya sempat menghabiskan siri mini berjudul Chernobyl yang berkisar mengenai letupan reaktor nuklear di Loji Janakuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine pada 1986.

Melalui siri berkenaan yang pastinya diolah serba sedikit mengikut kesesuaian jalan cerita tanpa menukar fakta kejadian, saya dibawa menelusuri keadaan yang berlaku sebelum, ketika dan selepas letupan reaktor itu terjadi.

Jika diikutkan siri berkenaan, watak yang diberi nama Anatoly Dyatylov individu yang mengetuai Reaktor 4 digambarkan sebagai ketua yang degil dan tidak mendengar pandangan kakitangan bawahan.

Dia mengarahkan penyelia shif malam, Aleksandr Akimov untuk menjalankan ujian bersama kakitangan baharu, Viktor Proskuryakov yang tidak pernah mengendalikan sebarang ujian untuk mengikut arahan yang tertulis pada buku manual.

Apabila berlaku sesuatu yang dirasakan tidak kena, Akimov memberikan pandangan bahawa keadaan tidak selamat dan ujian itu perlu dihentikan namun Dyatlov berdegil dan menyatakan pengalamannya selama 25 tahun dalam bidang berkenaan menjadikannya lebih mengetahui bila keadaan yang digelar bahaya.

Bertindak mengikut arahan, mereka meneruskan ujian berkenaan sehinggalah letupan berlaku. Kejadian itu sampai ke pengetahuan pengarah loji berkenaan, Viktor Bryukhanov, dan ketua jurutera, Nikolai Fomin yang menyangka letupan hidrogen menyebabkan kebocoran bekas air tercemar.

Namun seorang kakitangan loji berkenaan ternampak cebisan grafit yang menandakan keadaan sebenarnya adalah lebih serius dan ia bukan kebakaran biasa. Mereka seterusnya mendapatkan khidmat nasihat Valery Legasov, seorang ahli fizik nuklear.

Berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya, Legasov memberikan pandangan mengenai risiko terdedah kepada radiasi dan cara mengawal kebakaran yang belum terpadam.

Selain itu terdapat juga risiko pencemaran di seluruh Chernobyl dan daerah sekitarnya sekiranya mereka gagal menghalang pengaliran keluar air yang sudah dicemari radiasi.

Untuk mengekang itu daripada berlaku, banyak pihak perlu berkorban dan pengorbanan itu bukan sekadar tenaga sebaliknya membabitkan nyawa dan kesihatan diri kerana ‘berurusan’ dengan radiasi bukan perkara kecil.

Apa yang berlaku di Chernobyl secara tidak langsung menggambarkan keadaan di Wuhan ketika ini. Wabak koronavirus baharu (Covid-19) tidak menunjukkan tanda untuk bertenang. Angka kematian terus meningkat dan jumlah individu yang dijangkiti juga semakin tinggi.

Media juga melaporkan terdapat kakitangan perubatan yang turut dijangkiti wabak berkenaan, malah ada yang sudah meninggal dunia.

Mendiang Dr Li Wenliang adalah antara kakitangan perubatan yang berdepan dengan wabak ini lebih awal dan cuba memberi amaran mengenainya. Namun, dia ditahan polis yang menyifatkannya sebagai ‘mencetuskan panik dan menyebar maklumat palsu’.

Saluran penyiaran rasmi China, CCTV melaporkan China memecat dua pegawai kanan kesihatan di Hubei yang menjadi wilayah paling terjejas akibat penularan wabak itu.

Ia berpunca daripada cara pihak berkuasa tempatan mengendalikan wabak berkenaan.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas pihak terbabit menerima tekanan susulan kematian seorang doktor yang memberi amaran awal berhubung bahaya virus berkenaan.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, pemimpin utama Parti Komunis di Hubei turut dipecat kerana didakwa gagal mengendalikan situasi berkenaan.

Berdasarkan laporan South China Morning Post, Pensyarah Sains Politik di Universiti Chicago, Dali Yang berkata, krisis yang sedang dihadapi republik berkenaan dianggap sebagai Chernobyl China, yang mana kesannya mungkin dilihat selama bertahun-tahun selain ada kaitan dengan pengurusan krisis yang tidak cekap.

Malah, Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang mendedahkan yang dia tidak boleh berkongsi maklumat berkaitan wabak berkenaan lebih awal kerana perlu mendapat kelulusan daripada pegawai lebih kanan, yang seterusnya menjadikan berita berkaitan wabak itu lambat sampai ke pengetahuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kesan Chernobyl versi Ukraine dilihat dari aspek pendedahan radiasi yang mengakibatkan maut, pencemaran alam selain risiko penyakit dalam jangka panjang seperti kanser. Chernobyl versi China mungkin meninggalkan kesan sedikit berbeza, namun tetap menyakitkan.

Harga minyak dunia terjejas, aktiviti pengeluaran dihentikan seketika, sektor pelancongan terus perlahan, malah penduduk China kini bimbang kehilangan kerja kerana perlu mematuhi arahan kuarantin.

Lebih memilukan, mereka yang berwajah Asia – walaupun bukan warganegara China atau pernah menjejakkan kaki ke Wuhan kini berdepan sentimen perkauman.

Mereka dianggap pembawa virus dan perlu dijauhi. Malah, ada yang dihalau dari kediaman kerana tuan rumah mengesyaki si penyewa pembawa virus.

Seluruh dunia kini terus berdoa dan menanti penuh pengharapan agar wabak Covid-19 ini dapat ditangani secara telus dan profesional.

Memetik dialog Legasov dalam siri Chernobyl ini: “Bahaya sebenar adalah jika kita mendengar banyak penipuan, maka kita tidak lagi mengenali kebenaran sama sekali.”

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 9:50 PM