Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KALAU berani turun lah sini...Aku cucuk kau dengan jarum HIV. Kau nak mati sangatkan!,” jerkah seorang lelaki gelandangan yang bermastautin di bawah jambatan Jalan Sultan Sulaiman bersebelahan stesen KTM lama di ibu kota.

Lelaki berusia lewat 40-an itu meradang sebaik menyedari penulis dan jurugambar L Manimaran cuba merakam gambar aktiviti puluhan gelandangan yang berkampung di bawah jambatan itu.

Ketika itu jam menunjukkan tepat jam 9 pagi. Rata-rata gelandangan masih dibuai mimpi biarpun bunyi bingit hon kereta kedengaran di atas jambatan.

Rata-rata mereka meringkuk tidur beralaskan kertas surat khabar, kotak kadbod dan batik buruk. Picagari, najis serta sampah sisa makanan bertimbun di merata pojok suram jambatan. Tidak ubah seperti sarang tikus. Busuk dan hancing air kencing melekat di hidung penulis.

Ini pengalaman dilalui penulis sekitar Jun 2002. Bezanya wartawan era ‘hitam putih’ perlu turun ke lapangan berbanding zaman kini apabila maklumat mudah dikongsi di WhatsApp.

Kerana itulah penulis nekad untuk mendekati golongan gelandangan dan cuba memahami penyakit sosial yang disifatkan kudis kecil ketika itu.

Apa yang jelas, masalah sosial ini menyumbang kepada indeks jenayah di Daerah Dang Wangi ketika itu. Jenayah dadah, curi motosikal dan kasut di masjid, ragut, gaduh dan juvenil, pasti ada antaranya disumbangkan golongan ini.

Namun, selepas 18 tahun pendedahan itu dilakukan penulis, ‘kudis’ kecil satu ketika dulu sudah merebak umpama virus. Semakin ramai bilangannya menjangkau ribuan orang.

Jadi, apa bezanya 18 tahun lalu dan kini ? Jelas tiada berita baik yang boleh dikongsi, malah penyakit sosial masyarakat ini semakin sukar dirawat.

Mereka tidak lagi berkampung di bawah jambatan KTM atau Chow Kit, malah kini beranak-pinak dan melarat hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Silang, Masjid Jamek dan Masjid Negara serta Jalan Pudu.

Ini belum dikira lokasi lain di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang, Padang Kota Lama, sekitar Jeti di Pulau Pinang, Pasir Gudang dan terminal Larkin Sentral di Johor serta sekitar bandaraya Melaka.

Persoalannya adakah mereka ini mangsa keadaan? Adakah kehidupan sukar ini diwarisi daripada generasi terdahulu? Persoalan utama yang bermain di minda, mengapa kebanyakan mereka ini sebangsa dengan penulis?

Secara peribadi penulis bingung setiap kali melihat gelandangan dan anak-anak mereka hidup merempat dan tidur di jalanan hingga ke Subuh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka betah tidur meringkuk beralaskan simen kotor saban malam.

Buat masa ini, wajah-wajah gelandangan ini begitu mudah ditemui sebaik melepasi jam 10 malam. Kanak-kanak ini berkejaran di kaki lima, manakala si ibu leka berborak dipayungi cahaya neon jalan.

Timbul lebih banyak persoalan, adakah mereka ini tidak bersekolah dan apakah hala tuju mahu dibawa ibu bapa mereka? Sampai bila mereka harus bergantung hidup di jalanan dan mengharap ehsan pelbagai NGO pemurah yang sentiasa memberikan nasi bungkus untuk alas perut?

Pada mesyuarat kedua penggal pertama di Parlimen Disember 2018, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan 6,570 gelandangan mendaftar masuk dan menerima perkhidmatan di pusat kebajikan untuk gelandangan Anjung Singgah setakat Oktober 2018.

Mengambil kira kelembapan ekonomi dan peningkatan jumlah populasi, penulis yakin angka sebenar gelandangan di negara ini mencecah puluhan ribu dengan mengambil kira bandar utama lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka.

Kemudaratan masyarakat ini didakwa wujud akibat kesempitan hidup, isu miskin bandar, konflik keluarga, gejala sosial, gangguan mental, penyalahgunaan dadah, sikap dan lain-lain.

Malah, untuk menangkis tohmahan, jawapan klise diberikan, isu ini masalah universal yang turut dialami negara maju.

Penulis tidak bermaksud menyalahkan sesiapa dalam isu ini berikutan pelbagai usaha dilakukan antaranya membina Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) di Jalan Pahang, Pusat Transit Gelandangan Medan Tuanku dan Anjung Singgah Kuala Lumpur selain pusat jagaan komuniti yang mampu memuatkan gelandangan yang semakin bertambah.

Malah, lebih 50 peratus daripada gelandangan yang datang ke PTGKL didakwa sudah dibantu mendapatkan pekerjaan bersesuaian sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Cuma menghairankan penulis apabila jumlah gelandangan kota ini sedikitpun tidak menyusut.
Di mana silapnya pendekatan dilakukan selama ini. Adakah stigma masyarakat yang memandang serong dan mencemuh mereka ini menjadi punca?

>>Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 4:14 PM