SABARIAH, ibu kepada arwah Abam Bocey.
SABARIAH, ibu kepada arwah Abam Bocey.
Riadz Radzi

SELAIN kemelut politik tanah air baru-baru ini, industri hiburan tempatan terlebih dulu menjadi tumpuan awal tahun ini.

Ia bermula dengan usahawan kosmetik popular, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang mencetuskan kontroversi apabila berpakaian wanita ketika menunaikan umrah di Makkah awal Februari lalu. Ini diikuti dengan kematian mengejut pelawak popular Abam Bocey pada 10 Februari lalu dan kematian pelakon yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair pada 18 Februari lalu.

Apa yang pasti, semua yang berlaku itu adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya. Baik untuk Sajat, keluarga Abam dan keluarga Ashraf.

Namun, paling ketara sekali ialah ujian terhadap keluarga Abam. Selain rakan rapat Allahyarham dalam kumpulan Bocey iaitu Achey dan Fad, adik Allahyarham yang juga pelawak, Ali Puteh, ibunya, Sabariah Arshad dan balu Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali menerima ujian paling besar.

Pada mulanya mereka dikejutkan dengan pemergian Abam di kediamannya di Gombak, Selangor pada pagi 10 Februari lalu.

Siapa sangka, reaksi orang ramai terhadap kematian Abam sangat luar biasa. Daripada kanak-kanak, peminat, rakan artis, tokoh pemimpin hinggalah tokoh agama, semuanya memuji keperibadian Abam ketika hayatnya.

Kita juga didedahkan dengan banyak cerita mengenai kebaikannya yang sebelum ini tidak diketahui.

Ali dalam satu temu bual berharap pemergian abangnya itu dijadikan iktibar dan inspirasi kepada semua.

“Kita lihat bagaimana kematiannya. Dia pergi dengan tenang dan sewaktu solat jenazahnya di Masjid Gombak Utara, ribuan jemaah hadir dan mengadakan solat jenazah, malah kuburnya sentiasa basah kerana orang ramai tidak putus-putus menziarah,” katanya.

Lebih seminggu selepas pemergian Abam, cerita mengenai kebaikannya terus tular dan diperkatakan sama ada di media sosial dan media konvensional.

Apa yang berlaku sedikit sebanyak mengubat kesedihan keluarga Allahyarham yang diuji Allah.

Namun, masuk hari ke-10, sebaliknya pula yang berlaku. Belum pun reda kesedihan akibat pemergian Abam, sekali lagi air mata Ali dan Sabariah mengalir.

Ia berpunca selepas tular video temubual usahawan Datuk Seri Aliff Syukri bersama Siti Nurhidayah yang mendakwa terdapat kekangan dalam soal kewangan dan harta peninggalan arwah daripada pihak keluarga Abam.

Ali yang gagal mengawal emosi pula sanggup memuat naik status yang agak keterlaluan mengenai kakak iparnya itu selain mengutuk tindakan Aliff.

Walaupun Ali memadam status itu tidak lama kemudian selain mengadakan sidang media bagi memohon maaf terhadap Siti Nurhidayah, namun ‘tentera bawang’ dalam kalangan netizen lebih pantas memulakan tugas mereka.

Akibatnya, Ali dan keluarga dikecam teruk. Ali mendedahkan, sejak isu itu diperkatakan, dia menerima lebih 700,000 mesej langsung (DM) yang sebahagian besar mengutuk keluarganya. Bukan saja dikecam dan dikutuk, tetapi dihina dan diaibkan.

Bagaimanapun, Ali tidak cepat melatah dan berjaya menanganinya dengan cara berhemah iaitu memaafkan mereka yang menghina keluarganya.

“Saya dan keluarga dihina teruk dan maruah kami diaibkan. Kecaman dilemparkan netizen kepada kami sekeluarga sangat hebat. Namun, selepas saya mengadakan sidang media baru-baru ini menjelaskan cerita sebenar, lebih 90,000 DM meminta maaf yang saya terima.

“Dengan seikhlas hati, saya tegaskan segala dosa mereka yang kecam saya dan keluarga sudah dimaafkan. Saya berlapang dada memaafkan anda semua,” katanya yang turut mengakui tidak lena tidur selepas isu itu tular.

Menurut Ali, fokusnya kini lebih ditumpukan kepada tanggungjawab menjaga ibu dan keluarga.

Apa yang berlaku ini antara ujian besar terhadap Ali dan keluarganya. Siapa sangka pada mulanya dipuji, namun tiba-tiba mereka dikeji.

Selaku ketua keluarga mereka yang baru, pastinya apa yang berlaku memberikan pengalaman bermakna buatnya sekali gus menjadi lebih baik.

Apa saja persoalan mengenai keluarga mereka termasuk pelbagai dakwaan dibangkitkan netizen, siapalah kita untuk menghakimi mereka.

Berdoalah semoga segala kekusutan berjaya dileraikan dengan baik dan berhemah.

>>Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 9:05 AM