TENTERA Zionis merampas khemah dan peralatan perubatan Covid-19 milik penduduk Palestin.
TENTERA Zionis merampas khemah dan peralatan perubatan Covid-19 milik penduduk Palestin.
Nadir Al-Nuri

BEBERAPA hari lalu Kementerian Kesihatan Palestin mengirimkan surat kepada kami di Wisma Malaysia di Gaza. Surat itu adalah surat rayuan bantuan kecemasan berdepan wabak Covid-19 untuk penduduk Gaza.

Ia bukan kali pertama kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan bukan juga kali pertama kementerian terpaksa merayu bantuan antarabangsa untuk memenuhi keperluan ubatan di sini.

Tetapi, kali ini pastinya sedikit berbeza kerana rayuan berkenaan khusus bagi menangani pandemik yang negara maju dan membangunpun sedang bergelut dengannya.

Laman globalfirepower.com meletakkan Amerika Syarikat sebagai memiliki kekuatan ketenteraan nombor satu
di dunia. China menduduki tangga ketiga, Itali (12) dan Sepanyol (20). Mereka memiliki kekuatan puluhan ribu kereta kebal, pesawat tempur dan jutaan askar yang lengkap bersenjata.

Pada masa sama, mereka memegang rekod kes Covid-19 dengan kadar kematian paling tinggi. Negara haram Israel pun sama – di tangga ke-18 dari segi kekuatan tentera sudah mencatatkan sekitar 10,000 kes jangkitan.

Alhamdulillah, di Gaza kepungan pada hari ini adalah rahmat. Jumlah musafir dan kawalan pergerakan sedia ada menyebabkan Gaza hanya dijangkiti 13 kes setakat ini.

Tetapi, apakah akan berlaku jika wabak terbabit terlepas dan tersebar di dalam Gaza? Pastinya krisis kemanusiaan sangat besar akan dilihat memandangkan penjara terbuka ini bukan sejak semalam, malah sejak 2007 telah terhalang untuk mendapatkan keperluan asas sektor perubatan.

Akhbar Middle East Eye melaporkan bagaimana di Gaza hanya ada 40 Unit Rawatan Rapi (ICU) lengkap untuk menampung dua juta penduduk. Ia bermakna jika wabak masuk dan menyerang penduduk hanya 40 orang akan dapat dirawat secara sempurna. Bandingkan dengan negara kita Malaysia yang mampu menyediakan kemudahan berdepan bencana bukan saja dari aspek kesihatan, malah ekonomi dan keselamatan.

Kenapa saya sebutkan juga keselamatan? Sebabnya di kala seluruh dunia berperang berdepan wabak, tentera penjajah masih melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa apabila terus merobohkan rumah penduduk di Tebing Barat. Lebih jijik lagi minggu lalu mereka tergamak merobohkan struktur yang dibina penduduk dan merampas peralatan khemah yang disediakan untuk membuka klinik sementara bagi merawat pesakit Covid-19.

Saya juga membelek berita bagaimana di sebuah pusat kuarantin daripada 28 yang dibuka Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kebajikan Masyarakat, ada kes di mana penghuninya berumur hanya beberapa hari. Kisahnya, si ibu baru dikurniakan anak-anak ini melalui kaedah in-vitro atau bayi tabung uji, tetapi setelah melahirkan, mereka empat beranak terpaksa dikurung untuk mengelakkan ancaman penyakit.

Begitu juga di pusat kuarantin lain seorang bayi bernama Mahasin Jaudah, berusia 90 hari mati akibat komplikasi jantung. Beliau baru saja sampai ke Gaza setelah terpaksa bermusafir untuk mendapatkan rawatan di luar.

Nasib tahanan perang Palestin di dalam penjara Zionis lebih menyedihkan. Mereka dikurung dalam jumlah yang ramai di dalam bilik tahanan, apabila menuntut langkah pencegahan diambil, tentera mengarahkan mereka menggunakan sabun yang ada serta mengikat stoking di muka sebagai topeng.

Tidak hairanlah tahanan Nuruddin Sarsur yang hanya ditahan lebih seminggu keluar dari penjara dan disahkan positif Covid-19!

Semua ini membuatkan kami tidak dapat berdiam diri. Kami bersetuju bersama menyahut seruan Kementerian Kesihatan Palestin berkenaan dengan melancarkan kempen khas untuk Gaza yang kami namakan sebagai Tabung Kecemasan Covid-19 Gaza.

Tabung ini mensasarkan sumbangan RM1.5 juta dengan tujuan mendapatkan 10 unit mesin ventilator, PPE dan peralatan lain yang diminta secepat mungkin.

Kami memanjangkan rayuan penduduk Palestin dan memohon kerjasama institusi, NGO, syarikat dan perseorangan untuk membantu meneruskan hayat saudara kita di sini. Bagi penduduk Palestin kitalah barisan depan (frontliner) yang mampu memastikan masih ada hari esok untuk anak-anak mereka.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:30 AM