BELLA Astillah, Hafiz Hamidun, dan Alvin Chong terlibat konsert #JANGANKELUAR
BELLA Astillah, Hafiz Hamidun, dan Alvin Chong terlibat konsert #JANGANKELUAR
Ridzuan Abdul Rahman


SEDAR tak sedar sudah 42 hari kita 'berkurung' di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengawal pandemik Covid-19.

Semalam juga adalah hari terakhir PKP fasa ketiga dan hari ini bermula PKP fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei depan.

Sepanjang tempoh PKP berlangsung, kelibat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia setiap hari bagi mengetahui perkembangan terkini. Tentunya kemunculan mereka di kaca TV mengundang debaran berkenaan apa yang akan berlaku selepas ini.

Tambahan pula, kita sekarang memasuk hari keenam berpuasa dan pada 24 Mei nanti akan menyambut Aidilfitri.

Keputusan kerajaan melarang sebarang perhimpunan membabitkan ramai orang walaupun selepas PKP tamat memberi banyak kesan terhadap rakyat termasuk industri hiburan.

Apa yang pasti, ia memberi gambaran bahawa konsert yang sudah dirancang oleh pelbagai penganjur terpaksa dibatalkan.

Tidak dinafikan situasi ini amat perit bukan saja terhadap penggiat seni, bahkan seluruh rakyat kerana perlu mencari pendapatan untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, Allah Maha Adil kerana selain diwajibkan berpuasa, bulan Ramadan juga mengandungi 1,000 rahmat kepada yang bijak memanfaatkannya.

Barisan penggiat seni yang terkesan tidak hanya duduk diam berpeluk tubuh semata-mata, sebaliknya berusaha menceburi bidang perniagaan dalam talian.

Ada yang menjual makanan, kuih-muih, pakaian dan pelbagai barangan lagi demi untuk mencari wang. Tidak kiralah apapun yang dilakukan asalkan ia halal dan tidak menyalahi undang-undang.

Paling tersentuh adalah kisah bekas juara program Sinaran Pasport Kegemilangan dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai, Alina Hassan.

Dia yang menetap di sebuah bilik kecil di rumah kedai, nekad mengambil keputusan mengambil upah membeli barangan keperluan harian untuk penduduk di sekitar tempat kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.

Alina tidak memiliki kenderaan dan hanya berjalan kaki melakukan 'kerjaya' barunya ini. Walaupun hasilnya tidak seberapa, dia tetap puas hati kerana dapat membeli makanan bagi mengisi perut.

PKP juga menuntut artis kreatif dalam berkarya. Syarikat rakaman terkenal seperti Universal Music Malaysia misalnya menganjurkan Konsert #JANGANKELUAR.

Selain menyajikan hiburan, mereka juga bergabung dengan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mengutip sumbangan daripada peminat untuk disalurkan kepada dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Siti Nurhaliza.

Segelintir penyanyi pula mengadakan konsert secara solo dari rumah dan tidak segan-segan meletakkan nombor akaun untuk pendengar menyalurkan sumbangan.

Jangan diperlekeh atau diketawakan usaha mereka kerana mereka menjual bakat dan bukannya meminta simpati kosong semata-mata.

Kesusahan penggiat seni juga mendapat perhatian Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Konsortium Irama yang menghulurkan barangan keperluan dapur.

Tidak ketinggalan penyanyi Datuk Hattan, Datuk Nash dan Datuk Malik Ridzuan turut membantu rakan-rakan artis lain menerusi dana sumbangan ahli politik. Tidak kira pihak mana pun, keikhlasan mereka membantu wajar dihargai.

Kita juga dapat menyaksikan semangat perpaduan barisan artis yang menyokong perjuangan dakwah dan kerja-kerja amal Ustaz Ebit Lew yang begitu menyerlah sepanjang PKP ini.

Mereka sepakat mengkritik individu yang mempertikai sumbangan Ebit Lew terhadap golongan susah.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:59 AM