FOTO AFP
FOTO AFP
Nadir Al-Nuri

SEMINGGU sebelum Ramadan kami mula melaksanakan fasa pertama projek jangka masa panjang Malaysian Incubator For Small Projects and Start-Ups.

Ia ruang yang dibuka untuk pemuda berkongsi idea projek ekonomi kecil yang boleh menampung keluarga mereka.

Misi berkenaan sangat kami utamakan kerana semakin ramai pemuda terjun ke bidang ekonomi dan perniagaan maka semakin sedikit kebergantungan mereka kepada bantuan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kehidupan.

Mungkin usaha kecil kami tidak akan memberi kesan pun kepada angka 80 peratus atau 1.6 juta penduduk yang memerlukan bantuan luar semata-mata untuk mendapat makanan yang cukup setiap hari, tetapi keyakinan kami kepada sunnah Rasulullah SAW yang menjadikan perniagaan sebagai asas rezeki menolak kami untuk terus ke hadapan.

Projek fasa pertama yang diberi nama Tunjukkan Aku Ke Pasar juga mengambil iktibar daripada kata-kata ahli perniagaan terulung dalam kalangan sahabat, Abdur Rahman bin Auf RA yang pasca penghijrahan dari Makkah ke Madinah dan ditawarkan bantuan oleh kaum Ansar, menolak dengan lembut lalu berkata, tunjukkan aku jalan ke pasar untuk meneruskan usaha berniaga.

Usaha sendiri untuk menampung keluarga adalah amalan terpuji – tangan yang di atas sentiasa lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Justeru, walaupun dana yang kami letakkan untuk menjayakan misi besar kali ini hanyalah bernilai sekitar AS$55,000, lebih seribu orang pemuda mendaftar mengharapkan supaya peluang diberikan kepada mereka.

Dukacita, hanya 20 projek yang dapat kami taja dengan sebab kekangan kewangan.

Pemuda pemudi Palestin yang selalu menjadi contoh masyarakat kreatif ini membawa 1001 idea yang menyegarkan, daripada projek penghasilan batu-bata dengan menggunakan bahan terpakai, aplikasi telefon Doktorku untuk memudahkan tetapan temu janji bersama doktor di kawasan masing-masing, projek penanaman sayuran secara hidroponik serta projek pengajaran seni khat dan bahasa Arab melalui internet.

Tetapi, yang menarik perhatian saya seorang pemuda bernama Ramzi.

Dia membawa idea penanaman di dalam rumah hijau tanpa menggunakan baja kimia.

Yang menjadikan beliau menonjol bukan idea berkenaan, tetapi hakikat kesakitan yang ditanggung di sebalik wajahnya yang bersih.

Melalui temu duga ala-ala rancangan terkenal Dragon's Den atau Shark Tank, Ramzi masuk berdepan tiga juri termasuk saya dan memperkenalkan projek kecilnya melalui paparan skrin.

Penerangannya lancar dan kemas, tetapi apabila saya mula bertanya soalan sedikit peribadi, beliau mula gugup dan terhenti.

Soalan saya ringkas, saya bertanya pernahkah anak anda meminta sesuatu untuk dibelikan, tetapi anda tidak mampu merealisasikannya?

Ketika itu mulutnya bergetar dan air mata tumpah.

Kami kaget, tetapi beliau cepat-cepat menarik nafas dan menerangkan sebab tingkah lakunya.

Kata Ramzi, dia mempunyai dua anak, tetapi kedua-duanya dilahirkan cacat dengan kaki yang tidak sama panjang.

Beliau pernah bekerja selama tiga bulan dan duit gajinya sebanyak beberapa ratus ringgit dihabiskan hanya untuk rawatan anak-anaknya.

Pada masa sama, ayahnya meninggal dunia dan beliau sebagai anak lelaki sulung dan tunggal bertanggungjawab menjaga tujuh adik perempuan selain ibunya.

Saya menahan sebak dan menjawab bahawa bermula hari ini kehidupannya akan berubah.

Dia tidak perlu lagi menyatakan tidak setiap kali anak-anaknya meminta sesuatu dan lebih daripada itu, NGO akan menampung keperluan perubatan anak-anaknya.

Ramzi ialah contoh terbaik orang muda di Palestin.

Mereka mengumpul duit bertahun-tahun supaya dapat berkahwin kemudian separuh mati bekerja siang malam semata-mata mampu membelikan anak-anak lampin dan susu.

Ramai daripada mereka seperti Ramzi diuji dengan ahli keluarga yang syahid, cedera, cacat dan kurang upaya hasil kekejaman penjajah dan kepungan.

Tetapi, mereka jarang sekali bersuara dan jarang sekali mengadu, melainkan apabila haluan sudah tidak menentu.

Kerana itu bantuan kita yang tak seberapa bukan hanya untuk memberi peluang kerja malah membina masa depan dan memberikan mereka harapan.

Kita rakyat Malaysia perlu banyak bersyukur kerana ujian kita sedikit dan rezeki kita banyak.

Dengan nikmat keamanan, perpaduan dan peluang yang terbuka luas untuk menjana pendapatan, kitalah 'tangan di atas' yang perlu banyak berkongsi.

Hulurkan tangan, ringankan beban, demi pembebasan Palestin dan Al-Aqsa yang sudah terlalu lama berada di dalam penjajahan.

Penulis ialah penduduk Malaysia tunggal di Palestin. Salurkan sumbangan ke Palestin melalui NGO yang diasaskan beliau, Cinta Gaza Malaysia akaun Maybank 564810507826 atau layari ramadan4gaza.com untuk bantuan khas Ramadan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 7:45 AM