MURID di Palestin memakai pelitup muka. FOTO AFP
MURID di Palestin memakai pelitup muka. FOTO AFP
Nadir Al-Nuri

PENDUDUK dunia pada hari ini sibuk membicarakan berkaitan normal baharu. Normal baharu dalam mendepani wabak Covid-19 yang dijangka memberi kesan beberapa bulan, malah mungkin beberapa tahun lagi melibatkan kerap membasuh tangan, penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka untuk mereka yang tidak sihat.

Wabak ini juga memaksa normal baharu di aspek lain seperti sektor pekerjaan di mana kaedah bekerja dari jarak jauh seperti melalui telekonferens, pantauan atas talian dan komunikasi secara maya akan sedikit demi sedikit menjadi kebiasaan.

Mungkin hari ini kita berasa janggal dan mustahil kalau satu hari kelak tidak ada lagi keperluan bersesak dalam rush hour untuk ke pejabat kerana tempat kerja sudah ditularkan atau anak-anak tidak perlu bergesa-gesa untuk bangun pagi ke sekolah kerana pengajaran dan pembelajaran dibuat melalui internet.

Malah, sambutan hari raya
yang biasanya sinonim dengan kemeriahan dan ziarah kaum kerabat pun dilanda normal baharu apabila sambutan rumah terbuka besar-besaran tidak dibenarkan, perkumpulan keluarga merentas negeri dilarang dan duit raya dikirim melalui transaksi bank.

Hakikatnya, apapun kepelikan atau benda baharu jika dibuat berulang-ulang lama-kelamaan akan dapat diterima sebagai kebiasaan.

Untuk Palestin, normal itu bagaimana sang penjajah yang datang menceroboh dan mencuri hasil-mahsul negara 72 tahun dahulu kini dianggap sebagai pendatang yang sah dan penduduk yang layak diberikan hak.

Pencuri ini merancang normalisasi dengan begitu licik. Malah, permulaan normalisasi dengan ideologi Zionisme bertitik-tolak daripada usaha pengasasnya sendiri Theodor Hertzl yang melaung-laungkan hak bangsa Yahudi mendapat tanah tempat tinggal sendiri.

Hertzl dan pengasas Zionisme lain mendokong dakyah dengan terlebih dulu menipu bangsa mereka sendiri. Mereka menunggang agama dan sejarah yang diputar untuk meyakinkan diri sendiri bahawa merekalah tuan tanah sebenar. Dengan slogan seperti Ahavat Israel, cinta kepada Israel dan Sin'at Hagoy (kebencian kepada goyim atau orang bukan Yahudi) ideologi Zionis meyakinkan bangsa Yahudi bahawa mereka bangsa yang terpilih dan perlu pulang ke tanah yang dijanjikan untuk mereka.

Ideologi ini seterusnya dikembangkan dengan menghapuskan fakta seperti penghijrahan hampir 800,000 penduduk Palestin asal dalam peristiwa Nakbah, pembunuhan beramai-ramai penduduk yang dijajah seperti dalam peristiwa pembunuhan Deir Yassin dan Sabra Shatila, malah sikap rasis yang dijalankan di dalam pemerintahan di negara yang kononnya dilabel 'negara paling demokratik di Timur Tengah.'

Negara Mesir mengorak langkah normalisasi dengan Zionis sebagai negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dengannya sejak 1978 lagi melalui Perjanjian Camp David, malah Anwar Sadat Presiden Mesir ketika itu diberi penghargaan bercakap di hadapan Knesset.

Langkah itu disusuli Jordan yang menandatangani Perjanjian Wadi Araba, dengan menyelesaikan konflik perebutan tanah dan air, mewujudkan hubungan kerjasama di bidang pelancongan dan perniagaan serta keamanan dengan tidak membenarkan negara masing-masing menjadi tempat serangan dilancarkan ke atas pihak lawan oleh negara ketiga.

Mereka juga berlagak baik dan berlakon cuba hidup sehati sejiwa bersama penduduk Palestin dengan sogokan 'bantuan' kewangan, pembangunan dan janji masa depan yang cerah dengan tawaran penyelesaian dua negara atau two-state solution dan mutakhir Deal of The Century tajaan Trump.

Dalam era moden, normalisasi Zionis berjaya mengangkat pejuang kemerdekaan seperti Hamas dan Jihad Islami sebagai pengganas, meletakkan diri mereka sebagai pihak dizalimi yang memerlukan simpati dan pemilik hak yang perlu dihormati kalau keamanan hendak dicapai di Timur Tengah.

Hari ini, di saat negara Islam cuba berjinak dengan musuh dan cuba menjadi jagoan isu Palestin-Israel, pihak Barat pula dilihat semakin muak dengan percaturan Zionis lalu cuba mendokong nilai keadilan dan kesamarataan, sehingga negara haram Israel terpaksa menyusun semula langkah dan lebih berhati-hati ketika memijak.

Bagi kita normal baharu yang perlu dipupuk ialah menjadi bangsa yang rajin, mencintai ilmu dan bersemangat membangunkan negara secara bersama. Suka atau tidak nilai-nilai inilah yang dipupuk oleh Zionis sehingga pada hari ini dunia menjadi boneka yang dimainkan sesuka mereka dalam wayang dan sinetron yang tidak berkesudahan.

Selamat menyambut Aidilfitri dengan normal baharu dari bumi Palestin yang penuh keberkatan!

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Gaza, dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:00 AM