IZZUE, Siti Nordiana dan Ayda antara artis tanah air yang aktif menggunakan aplikasi TikTok.
IZZUE, Siti Nordiana dan Ayda antara artis tanah air yang aktif menggunakan aplikasi TikTok.
Rencana

TIK Tok bukan lagi menjadi aplikasi baharu lebih-lebih lagi buat generasi baharu yang sentiasa 'berkepit' dengan telefon pintar.

Jika tidak ada aplikasi itu di telefon pun, tentunya di platform media sosial lain 'bersepah' pengguna lain yang kongsikan video-video yang dimuat turun dari TikTok dan dimuat naik semula ke platform lain.

Mula dilancarkan sejak 2016, aplikasi ini mula menular dan mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan usia.

Di Malaysia, TikTok menjadi antara aplikasi popular dan kini mula menarik perhatian ramai selebriti tanah air yang 'terjebak' sama dan aktif di aplikasi itu.

Kandungannya pelbagai. Ada yang menari, ada yang berlakon, ada yang menggunakan gerak bibir dengan suara orang lain dan tak kurang juga ramai yang menggunakan kreativiti masing-masing dalam menyajikan kandungan buat pengikut.

Semakin hari, semakin ramai selebriti yang aktif antaranya Siti Nordiana, Izzue Islam, Ayda Jebat, Azrel Ismail, Daiyan Trisha, Nora Danish, Baby Shima, Aeril Zafrel, Zizi Kirana, Fimie Don, Hael Husaini, Sherry Alhadad dan ramai lagi.

Bercakap mengenai TikTok, apabila sesuatu aplikasi atau 'trend' mula menjadi bualan dan ikutan, maka banyak jugalah komen dan kritikan yang dilemparkan.

Komen warganet sememangnya akan sentiasa ada. Tidak kurang juga daripada pakar dan ilmuwan dari pelbagai bidang yang melontarkan pendapat masing-masing.

Sama seperti aplikasi lain yang ada, TikTok juga ada kebaikan dan keburukannya. Ia bergantung kepada cara bagaimana platform itu digunakan dan kandungan yang dimuat naik.

Banyak kebaikan yang kita boleh lakukan dengan menggunakan TikTok. Contohnya, untuk berkongsi perkara yang bersifat positif.

Salah satu kandungan yang menarik perhatian penulis adalah kewujudan #tiktokclassroom yang menjadi ruang untuk mempelajari benda baik contohnya, bahasa isyarat.

Itu adalah kandungan positif yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada mereka yang menonton, tetapi juga nama baik pemilik akaun TikTok itu sendiri.

Di TikTok juga, ramai yang mula berani untuk mempersembahkan bakat terpendam mereka contohnya, bakat nyanyian, tarian dan sebagainya.

Bagi peniaga, aplikasi ini juga nampaknya menjadi medan untuk mempromosikan produk mereka. Inilah peluang mereka untuk menggunakan teknologi sebaik mungkin.

Bagi golongan selebriti, mereka menggunakan TikTok salah satunya untuk kekal relevan dan mengikut arus peredaran zaman. Di samping itu, tentunya ramai peminat yang menantikan artis pujaan mereka untuk tampil di aplikasi itu.

Namun, kita lihat juga dari sudut negatif apabila ada pemilik akaun yang tidak bertanggungjawab, berkongsi video tidak senonoh, bahkan ada yang lebih berani mempertontonkan kandungan lucah.

Seperti yang pernah dilaporkan Harian Metro sebelum ini, ketika trend Lathi Challenge menjadi kegilaan di beberapa negara Asia Tenggara, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah turut berkongsi nasihat mengenainya.

Tidak kiralah siapa pun anda sebagai pengguna sama ada pemilik akaun atau sekadar pelayar TikTok, gunakanlah secara berhemah kerana rangkaian aplikasi itu boleh diakses pelbagai lapisan usia penonton.

Lagipun, sekali anda kongsikan video atau kandungan yang tidak sepatutnya ke aplikasi online seperti ini, jejak digitalnya akan terus kekal.

Bagi yang berpengaruh, gunakanlah TikTok untuk membawa kebaikan walaupun ramai yang mungkin punya persepsi sendiri dan stereotaip terhadap aplikasi ini.

Gunalah teknologi sebaik mungkin dan jadikan ia sebagai platform yang berfaedah kerana setiap tindakan kita pada hari ini, ada kesannya di masa akan datang.

Kalau tidak kena kepada kita, mungkin anak cucu kita akan melihat kesannya kelak.

Penulis, wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:00 AM