MAHASISWA terpaksa bekerja untuk tampung kos pengajian dan kehidupan.
MAHASISWA terpaksa bekerja untuk tampung kos pengajian dan kehidupan.
Mohd Rozaimy Ridzuan

Oktober adalah bulan yang agak sibuk buat mahasiswa kerana mereka perlu pulang ke kampus selepas beberapa minggu bercuti semester.

Berbunga-bunga hati mahasiswa untuk pulang ke kampus kerana sudah lama tidak berjumpa rakan-rakan dan belajar secara bersemuka (face to face) dalam bilik kuliah.

Namun, peningkatan kes Covid-19 terutama di Kedah dan Sabah menuntut mahasiswa belajar secara pembelajaran terbuka (ODL) di luar kampus.

Terdapat beberapa universiti yang membenarkan mahasiswa berada di kampus jika mahasiswa menghadapi masalah seperti tiada akses Internet, keadaan persekitaran rumah yang kurang kondusif bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan sebagainya.

Bagi mahasiswa yang memilih untuk belajar secara atas talian di rumah, sudah tentu mereka ada justifikasi sendiri.

Mungkin pertimbangan yang sewajarnya sudah dilakukan bagi memastikan keputusan mereka untuk berlajar secara atas talian di rumah benar-benar memihak kepada mereka.

Bagi sesetengah mahasiswa, belajar secara atas talian di rumah memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk bekerja secara sambilan.

Ada mahasiswa yang bekerja ketika cuti semester yang lalu dan ingin terus bekerja ketika semester baharu ini bermula.

Tidak dinafikan terdapat banyak manfaat bekerja ketika belajar terutamaa apabila mereka dibenarkan belajar di rumah secara atas talian.

Jadual kuliah yang fleksibel, ditambah pula sifat ODL yang tidak memerlukan mahasiswa berada dalam kelas secara fizikal membuatkan ramai mahasiswa bekerja secara sambilan.

Ada dalam kalangan mahasiswa mengikut trend masa kini dengan menjadi ejen (dropship) kepada sesuatu produk dan terbabit dalam GIG ekonomi seperti Food Panda, Grab Car dan sebagainya.

Sifat pekerjaan ini dilihat lebih fleksibel, menguntungkan dan wajar dilakukan mahasiswa.

Selain itu, ada segelintir mahasiswa yang mula menjinak-jinakkan diri dalam aktiviti keusahawanan.

Sebenarnya bekerja sambil belajar tatkala wabak Covid-19 melanda negara dilihat sebagai keperluan buat mahasiswa untuk membantu keluarga mereka yang tidak mampu membayar yuran pengajian, yuran kolej dan sebagainya.

Bekerja sambil belajar juga mampu memberikan pengalaman bekerja kepada mahasiswa sebelum mereka masuk alam pekerjaan dan menjadikan pengalaman bekerja itu sebagai tambah nilai kepada resume mereka.

Bekerja sambil belajar juga membolehkan seseorang mahasiswa itu untuk mengukur kemampuan, kemahiran, minat dan kelemahan yang dimiliki untuk digilap menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan ahli akademik mendapati pelajar yang berkerja pada waktu sesi kuliah menyebabkan keputusan peperiksaan mereka merosot.

Namun, kajian dijalankan Schoenhals (1998) mendapati pekerjaan sambilan tidak memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar.

Ia jelas menunjukkan bahawa kesan pekerjaan sambilan kepada prestasi mahasiswa adalah berbeza. Ia bergantung kepada bagaimana seseorang mahasiswa itu bijak mengimbangi masa antara belajar dan bekerja supaya pelajaran mereka tidak terjejas.

Kajian juga membuktikan bahawa mahasiswa di negara barat seperti United Kingdom dan Australia melakukan kerja sambilan sehingga mencapai purata 30 jam seminggu.

Siapa yang mampu menghalang jika seseorang mahasiswa itu terpaksa bekerja untuk menampung kos pengajian dan kehidupan mereka? Apa-apa pun, mahasiswa yang ingin bekerja secara sambilan perlu tahu yang mana sambilan dan yang mana tidak.

Sebagai mahasiswa, sudah semestinya perihal mengenai pembelajaran diletakkan lebih tinggi berbanding pekerjaan. Perancangan rapi perlu dilakukan supaya jadual belajar tidak bertembung dengan jadual bekerja.

Selain itu, jangan gunakan alasan bekerja untuk tidak memberikan sumbangan kepada ahli kumpulan jika mahasiswa dituntut untuk menyiapkan tugasan secara berkumpulan.

Perlu diingat, ada sebab mengapa sesuatu tugasan itu diberikan secara berkumpulan. Keengganan untuk memberikan kerjasama kepada ahli kumpulan menyebabkan mahasiswa yang lain tertekan dan dikhuatiri berlaku pula perkara yang tidak diingini.

Jangan nanti, seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.

Mahasiswa juga perlu meneliti kesesuaian pekerjaan itu sebelum mereka membuat keputusan untuk bekerja. Pilih pekerjaan yang tinggi fleksibiliti waktu bekerja dan tidak terikat dengan jadual yang rigid seperti berniaga sendiri, Food Panda, Grab dan sebagainya.

Sekiranya terpaksa bekerja di restoran, pusat beli-belah dan sebagainya, pastikan anda mendapat kebenaran daripada majikan untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian.

Sekiranya tidak, kemungkinan berlakunya kecuaian dan kemalangan di tempat kerja adalah tinggi dan ia nanti bukan saja menyusahkan majikan dan mahasiswa itu sendiri, malah sedikit sebanyak mencalitkan imej yang tidak baik kepada pihak universiti.

Mahasiswa juga disarankan mempunyai buku perancangan harian supaya mereka tidak terlepas atau terlupa tarikh penting dek kerana kesibukan bekerja dan belajar.

Selalu berinteraksi dengan pensyarah ataupun penasihat akademik untuk mengelakkan berlaku salah faham.

Akhir kata, ukur baju di badan sendiri. Jika rasa mampu untuk mengimbangi antara belajar dan bekerja, teruskan.

Jangan nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:15 AM