GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shahir Ab Razak

Perbelanjaan operasi kerajaan yang merangkumi gaji dan elaun penjawat awam adalah termasuk di dalam Kumpulan Wang Disatukan di bawah Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 104 (1) Perlembagaan Persekutuan antara lainnya memperuntukkan bahawa tiada pengeluaran Kumpulan Wang Disatukan boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Akta Perbekalan.

Dalam erti kata lain, belanjawan perlu diluluskan oleh Parlimen bagi membolehkan perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan dan ia termasuk pembayaran gaji dan elaun penjawat awam.

Dalam konteks ini, sekiranya Belanjawan 2021 yang juga dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) tidak diluluskan, maka kerajaan tidak akan dapat mengeluarkan wang untuk membayar perbelanjaan operasi pentadbiran negara.

Bila dibentangkan belanjawan, sama seperti yang berlaku setiap tahun, ia akan dibahaskan dan dalam konteks ini, jika tidak diluluskan, maka tidak akan ada peruntukan kewangan untuk operasi dan sebagainya.

Berhubung soal pengecualian kepada pembayaran tanggungan, ia boleh dilakukan, tetapi terhad.

Di dalam belanjawan, terdapat perbelanjaan tanggungan yang kebanyakannya merujuk kepada bayaran pencen serta bayaran khidmat hutang untuk pinjaman kerajaan.

Peruntukan bagi perbelanjaan tanggungan untuk Belanjawan 2021 adalah lebih kurang 20 peratus.

Perkara ini boleh terus dibayar bagi pinjaman dan pencen, tetapi bayaran selebihnya jika ia tidak diluluskan, semua yang disebutkan tadi tidak boleh dibelanjakan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam kenyataan media sebelum ini menyatakan bahawa perbelanjaan termasuk perbelanjaan gaji dan elaun boleh dibuat dengan mendapatkan kelulusan sebahagian daripada belanjawan untuk tahun 2021 dan telah membuat perbandingan dan rujukan kepada kelulusan awal yang diperoleh untuk sebahagian daripada peruntukan Belanjawan 2000.

Dalam situasi Belanjawan 2000 yang dirujuk beliau, kelulusan sebahagian daripada perbelanjaan bagi tahun 2000 diberikan kerana Parlimen tidak mempunyai masa yang cukup untuk membahaskan dan meluluskan Belanjawan 2000 sebelum permulaan tahun 2000 memandangkan Parlimen dibubar pada November 1999.

Tindakan ini dilaksanakan menurut Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan 'Parlimen mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan.'

Namun, situasi mungkin dihadapi sekarang adalah penolakan Belanjawan 2021 yang dibentangkan yang mana kita belum pernah melalui keadaan seperti itu di mana sebahagian daripada peruntukan belanjawan dibenarkan di bawah Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan selepas sesuatu belanjawan ditolak oleh Dewan Rakyat.

Malah, Peraturan 63 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat juga menghalang apa-apa kandungan rang undang-undang yang ditolak daripada dibentangkan semula untuk bacaan kedua dalam satu sesi parlimen yang sama.

Jika kita lihat, situasi Belanjawan 2021 pada ketika ini adalah ternyata berbeza dengan keadaan ketika Belanjawan 2000.

Justeru, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, maka apa-apa cadangan peruntukan yang di dalam Rang Undang-Undang Pembekalan (2021) tidak lagi boleh dibentangkan di dalam satu sesi Parlimen yang sama.

Lebih memberi kesan, Kumpulan Wang Disatukan tidak dapat dikeluarkan menyebabkan gaji dan elaun penjawat awam tidak dapat dibayar, sesuatu yang perlu kita fikirkan, bagaimana jika keadaan itu berlaku nanti.

Mungkin ramai berminat untuk mengaitkan tidak lulus belanjawan dengan pilihan raya umum (PRU) sama ada membabitkan pembentangan belanjawan baharu dan bagaimana dengan fungsi kerajaan atau petugas barisan hadapan.

Sekalipun PRU diadakan, suatu pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen.

Kemudian selepas sebuah kerajaan dibentuk, masa diperlukan untuk melantik Kabinet dan selanjutnya merancang dan menyediakan belanjawan baharu.

Kita imbau sedikit, secara realistik pada 1999, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kekal menerajui kerajaan hanya dapat membentangkan belanjawan seawal Februari tahun 2000.

Dalam situasi politik kali ini, kita perlu mengambil kira kemungkinan wujudnya pakatan baharu dan kerajaan baharu yang sudah tentu akan merubah wajah politik, tidak seperti yang kita ketahui selama ini.

Lebih utama masa akan diperlukan untuk menyediakan belanjawan baharu sebelum ia boleh dibentangkan kerana ia perlu diteliti mengikut keadaan semasa yang saya kira tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.

Ini bermakna masa yang lebih lama akan diambil untuk belanjawan baharu diluluskan dan kerajaan boleh membuat bayaran dari Kumpulan Wang Disatukan seperti yang saya terangkan di awal tulisan tadi.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira terlebih dahulu adalah adakah negara kita bersedia untuk menghadapi PRU dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini? Kita sendiri dapat lihat apa yang berlaku di Sabah.

Malah, Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi juga ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat disebabkan risiko penularan wabak pandemik ini.

Ia akan memberi kesan jangkitan dan kekangan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta sukarelawan bagi melaksanakan tugasan dengan berkesan.

Kesimpulannya banyak faktor perlu diambil kira, diperhalusi dan dipertimbangkan semua ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.

Minggu ini adalah penentu, sama ada politik di depan atau masalah rakyat, kestabilan negara yang akan diberi keutamaan oleh wakil rakyat.


Penulis seorang peguam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:00 AM