FACEBOOK
FACEBOOK
Anjali Kapoor

Tidak boleh dinafikan 2020 adalah tahun yang membawa banyak perubahan. Berbulan-bulan komuniti di Asia mengharungi pandemik Covid-19, yang di beberapa negara, ia bermula sejak awal tahun.

Orang ramai di seluruh rantau ini bergantung kepada organisasi berita untuk mendapat maklumat yang sahih dan maklumat terkini.

Baru-baru ini, kami mengumpulkan rakan kongsi dan komuniti perniagaan pada sidang yang bertemakan Forward Together atau Maju Bersama.

Pada sidang kemuncak maya pertama itu, kami berkongsi komitmen dalam menyokong berita dan organisasi kewartawanan berkualiti di Malaysia seiring dengan pengadaptasian kewartawanan ke dunia digital serta membangunkan perniagaan media yang mampan.

Berdasarkan perbincangan dengan penerbit dan ketua bilik berita pada peringkat awal pandemik ini, kami dimaklumkan mereka perlu memenuhi keperluan perniagaan yang segera serta kritikal.

Pada masa sama, mereka juga komited untuk menyokong transformasi digital rakan sekerja supaya tidak hanya bertahan dengan impak yang dibawa pandemik ini, tetapi dapat terus membangunkan perniagaan untuk jangka masa panjang.

Ketika saya mula berkecimpung dalam industri berita sebagai seorang wartawan lebih 20 tahun lalu, bilik berita baru saja mula mempertimbangkan bagaimana teknologi akan mengubah industri kewartawanan.

Saya tertarik dengan teknologi baharu ketika itu dan menyedari peluang bagi bilik berita untuk berkongsi berita menerusi cara yang baharu dan menghasilkan kandungan dalam talian yang dapat mencapai khalayak baharu.

Saya menceburi kerjaya yang membolehkan saya membangunkan produk, bereksperimen dengan teknologi dan mencipta strategi perniagaan serta produk. Ia adalah gabungan sempurna antara minat peribadi yang mendalam terhadap teknologi dan semangat untuk memperluaskan kewartawanan kepada penonton di luar sempadan fizikal negara.

Ia sangat menarik untuk bekerja ketika persilangan teknologi dan kewartawanan sebelum ini kerana kini industri ini sudah berkembang seiring dengan perkembangan digital.

Apabila saya berkongsi pengalaman ini dengan rakan berita kami, mereka turut berasa bahawa bilik berita perlu mengadaptasi teknologi baharu dan terus berinovasi jika ingin maju serta berkembang dan membina perniagaan digital jangka panjang.

Di Malaysia, selain bekerja secara langsung dengan ramai penerbit di negara ini melalui program rakan kongsi yang dikendalikan, kami juga banyak melabur dalam program yang menyokong transformasi digital perniagaan mereka.

Kami percaya dengan menyediakan jangkauan penonton yang lebih luas kepada penerbit melalui pengedaran secara percuma, di samping melabur dalam alatan dan program percuma dirancang khusus untuk menjana bilangan pembaca, Facebook akan dapat mendorong serta menyokong model perniagaan mampan.

Di Malaysia, kami banyak melabur dalam pelbagai program bagi menyokong organisasi berita dalam transformasi digital mereka. Antaranya, kolaborasi dengan Transformasi Bilik Berita dan Perniagaan Asia 2020 WAN-IFRA yang mengalu-alukan kepemimpinan daripada dua organisasi berita di dalam negara, iaitu Sin Chew Daily serta The Edge Malaysia.

Kami juga menjalankan program kemahiran khusus termasuk Video Accelerator yang memberi Astro Awani dan TV3 akses kepada bimbingan serta latihan daripada pakar industri dan penyokongan dana untuk bereksperimen dengan strategi video digital yang mereka pelajari dalam program itu.

Kami juga sedang menjalankan program Reader Revenue Accelerator membantu rakan APAC termasuk New Straits Times, MalaysiaKini dan Sin Chew mengoptimum potensi langganan produk mereka.

Pada masa sama, kami terus membantu penerbit dengan menawarkan pelbagai peluang latihan.

Pada tahun ini, kami sudah membabitkan hampir 100 wartawan daripada 12 organisasi berita melalui program Bootcamp Digital Media kami dan latihan khusus produk termasuk kem penulisan Instant Article, video dan program kewartawanan mudah alih.

Ekosistem media di Malaysia mempunyai kesamaan dengan banyak entiti berita di rantau ini iaitu antara penerbitan format lembaran lebar tradisional yang baru mula bereksperimen untuk versi dalam talian, penyiar yang sedang beralih ke video digital dan organisasi berita mengutamakan digital menguruskan hampir semua laporan, penyuntingan serta penerbitan mereka menggunakan telefon bimbit.

Namun, tidak kira bagaimana mereka beroperasi atau apakah pilihan editorial mereka, semuanya mempunyai satu persamaan iaitu peralihan ke digital.

Kami dimaklumkan ketika berbincang untuk membina dan menyokong kemahiran wartawan mereka dan memastikan bilik berita mereka dilengkapi teknologi yang tepat untuk berjaya dengan pelbagai aliran pendapatan termasuk hasil digital pada masa akan datang.

Kami faham kesan langsung dana kecemasan Covid-19 untuk komuniti baharu, namun keutamaan kami adalah terus menyokong bilik berita di rantau ini mengharungi transformasi digital yang berterusan.

Teras kepada inisiatif ini adalah menyokong pengembangan kemahiran komuniti berita di rantau ini. Kami bekerjasama dengan Splice Media dalam melaksanakan inisiatif seperti Splice Lights On apabila kami memberikan geran kewangan kepada lebih 50 organisasi bilik berita di Asia Pasifik termasuk empat penerbit di Malaysia.

Inisiatif ini penting bagi menyokong penerbit yang masih membangun seperti What's the Meta Today (WTM Today). Diasaskan oleh Mariah Ahmad, dana yang kami salurkan membantu meningkatkan usaha kandungan beritanya semasa pandemik. Covid-19 dan kawalan pergerakan setempat menyaksikan lonjakan aktiviti e-sukan di Malaysia dan WTM Media melihat peluang itu untuk bereksperimen dengan format kandungan baharu dan menyampaikan cerita di belakang tabir kepada peminat e-sukan.

Pembiayaan yang diberi membolehkan WTM Media mengguna dan melatih bakat baharu serta mewujudkan peluang terkini untuk wartawan e-sukan di Malaysia.

Sama seperti sokongan yang kami berikan kepada WTM Media, kami komited untuk mendukung kewartawanan berkualiti dan menyedari peranan yang dapat dimainkan dalam membantu organisasi berita untuk mengadaptasi cabaran yang dihadapi serta mengembangkan model perniagaan mereka.

Alatan penerbitan yang kami bangunkan khas direka untuk membantu organisasi berita membina dan memahami khalayak pasaran serta menjana pendapatan tambahan. Bagi kami, ini adalah cara terbaik untuk membantu mereka membina model perniagaan yang mampan untuk masa hadapan. Ini berbeza dan berasingan daripada peralatan iklan kami.

Alatan seperti CrowdTangle membolehkan penerbit mendapatkan data dan pandangan berkaitan khalayak dalam pasaran untuk membantu bilik berita mengembangkan kemahiran serta peralatan untuk memahami khalayak digital. Pada masa sama, produk lain termasuk strim video dengan iklan, melalui Instant Article atau penawaran langganan, semuanya membolehkan penerbit menjana pendapatan dan membangun pendapatan baharu.

Kami sedia maklum produk dan perkhidmatan percuma sangat berharga bagi penerbit kecil serta penerbit baharu. Mereka amat memerlukan sokongan dan mendapat banyak manfaat apabila dapat mencapai penonton baharu. Namun, penerbit perlu memastikan mereka dapat membangunkan bakat dan kemahiran bilik berita untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang dihasilkan oleh teknologi untuk bilik berita.

Facebook (FB) komited menyokong penerbit dalam membina perniagaan yang lebih kukuh dan beralih ke digital, sekali gus menjamin masa hadapan kewartawanan di Malaysia dan Asia Pasifik.

Penulis Pengarah Perkongsian Berita, Facebook Asia Pasifik

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:15 AM