BLACK dan Tomok antara artis generasi muda yang boleh menjadi ahli jawatankuasa Papita seperti dicadangkan Hattan.
BLACK dan Tomok antara artis generasi muda yang boleh menjadi ahli jawatankuasa Papita seperti dicadangkan Hattan.
Ridzuan Abdul Rahman


Suhu industri seni tanah air sekarang memang hangat dengan pelbagai isu menarik antaranya pendakwah selebriti berperangai mengaibkan dan isu royalti artis.

Namun, penulis lebih tertarik menyentuh isu berkenaan royalti kerana membabitkan ramai penggiat seni.

Paling menyedihkan ia sudah berlarutan lebih 20 tahun tanpa ada penyelesaian.

Kesukaran hidup yang dilalui penggiat seni terutama golongan penyanyi dan pemuzik (yang dikenali sebagai pelaku persembahan) bermula apabila pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuatkan mereka hilang pendapatan.

Nak mengharapkan bantuan kerajaan pula, semuanya lebih terarah kepada produksi drama dan pelakon yang masih boleh mencari rezeki dengan SOP tertentu.

Jalan yang ada hanyalah menerusi perolehan royalti yang jumlahnya bukan sedikit.

Datuk Freddie Fernandez selaku Presiden Karyawan (yang dilihat lebih terarah kepada penyanyi dan pemuzik) bangkit memperjuangkan isu terbabit.

Dalam perkara ini, Recording Performers Malaysia (RPM) menjadi sasaran kerana satu-satunya badan pengutip royalti yang mewakili penyanyi dan pemuzik selepas Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) sudah ditutup.

Keperitan yang dilalui selain menuntut hak yang dinafikan membuatkan perjuangan Karyawan mendapat sokongan beberapa nama besar dalam industri muzik antaranya Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Ito Mohd dan ramai lagi.

Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid serta empat ahli lembaga pengarahnya Altimet, Jac, Ana Raffali dan Aniu dikritik hebat kerana dikatakan tidak buat kerja seperti yang diamanahkan.

Freddie juga melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hasilnya empat badan kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, RPM dan PRISM disiasat.

Kemuncak terhadap isu ini pula menyaksikan Freddie bersama Khaty, Ito dan Rafi Mohd (pemuzik dan komposer) mengadakan sidang media khas baru-baru ini bagi mendesak Sheila meletak jawatan.

Paling mengejutkan, mereka akan membawa kes ini kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kes ini tidak dapat diselesaikan atau Sheila meletak jawatan.

Ia bukti mereka serius mahu menyelesaikan isu royalti.

Kita tinggalkan isu ini dan sentuh berkenaan persatuan artis yang mewakili artis, komposer dan penulis lirik.

Penulis pernah mengutarakannya dalam penulisan terdahulu iaitu Mencari Papita.

Seperti kita maklum Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) sebuah persatuan artis yang cukup gah suatu ketika dulu.

Papita dilihat cukup kuat memperjuangkan nasib penggiat seni pada era 70-an sehingga lewat 1990-an. Kini Papita menyepi membuatkan ramai tertanya-tanya apa kesudahan riwayatnya.

Menerusi perbualan penulis dengan Datuk Hattan baru-baru ini, beliau mencadangkan artis generasi muda seperti Black Hanifah, Tomok dan beberapa nama lain supaya menjadi ahli jawatankuasa Papita bagi 'meremajakannya' dan tidak lagi dilihat sebagai persatuan untuk artis-artis senior atau veteran.

Menurutnya, Papita perlu dihidupkan semula dan aktif agar segala permasalahan berkaitan penggiat seni diselesaikan.

Terlalu banyak isu perlu diperjuangkan untuk golongan ini.

Cadangan Hattan ini sangat bermanfaat dan kena pada masanya, di kala Seniman dilihat lebih mewakili golongan pelakon walaupun presidennya, Zed Zaidi menjelaskan Seniman mewakili suara semua penggiat seni.

Namun, untuk merealisasikan perkara ini bukan kerja mudah kerana rambut sama hitam, hati lain-lain.

Apa-apa pun tepuk dada tanya selera sama ada mahu mengubah keadaan untuk jadi lebih baik atau terus kekal berada di takuk lama.


Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:00 AM