Siti Nordiana di AME 2020.
Siti Nordiana di AME 2020.
minda

Setuju atau tidak, peminat adalah tulang belakang paling penting untuk mengukuhkan kelangsungan karier seseorang artis. Merekalah yang akan terus menyokong di saat jatuh bangun artis itu.

   Justeru, aspek menjaga rapi kelab peminat selain beberapa elemen berguna perlu diberikan perhatian lebih oleh artis. Tidak kisahlah melangit mana pun populariti mereka, akhirnya tetap peminat juga harus didahulukan.

    Apabila sudah mendedikasikan perhatian serta mengambil berat dengan ikhlas peminat mereka, potensi untuk terus relevan lebih besar. Bukannya nama naik, sewaktu dilanda kontroversi semata-mata.

    Dalam industri hiburan sendiri, hal ini terbukti dengan pencapaian beberapa artis dan contoh terkini, Siti Nordiana. Meskipun dia bukan baharu dan muda, pengikutnya terus kukuh jika dibandingkan artis muda lain yang sekadar popular sahaja.

    Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya saban tahun, biarpun menang anugerah menerusi undian, bukti kukuh bahawa peminat sentiasa 'raja'. Jangan pernah memperlekeh kuasa peminat dalam menentukan hala tuju karier artis.

    Yang pasti, artis juga kena ada usaha sendiri untuk memastikan peminat terus melekat dan ambil kisah kerjaya mereka. Lima aspek penting yang harus dititikberatkan termasuk komunikasi, interaksi, sajian kandungan, kualiti kerja dan pembawaan diri.

    Tidak disangkal, komunikasi adalah senjata penting yang harus dikuasai sesiapa pun dalam masyarakat. Tidak terkecuali artis, yang mana daripada kemahiran komunikasi itulah akan membuka pelbagai peluang rezeki buat mereka.

    Dalam komunikasi bersama peminat, artis seharusnya perlu meluangkan masa berkomunikasi dengan mereka sekerap boleh. Tidak kiralah komunikasi itu sehala atau dua hala, asalkan wujud jambatan penghubung antara mereka.

    Oleh demikian, kewujudan kelab peminat adalah aspek yang harus dijaga rapi. Setiap kelab peminat pastinya ada ketua yang sekurang-kurangnya memiliki akses langsung kepada artis terbabit bagi membincangkan pelbagai hal berkaitan.

    Seterusnya, interaksi juga perlu kerap sebagaimana komunikasi dibuat. Interaksi tidak sekadar terhad menerusi media sosial semata-mata, meskipun membalas komen peminat sudah dikira memadai.

    Sebaliknya, luaskan interaksi itu kepada pertemuan lebih dekat. Semestinya, peminat sendiri mahu bersua muka untuk mengenali lebih dekat artis kesayangan mereka. Contohnya, anjurkanlah sesi makan-makan atau aktiviti sukan seperti bermain boling.

    Dengan menganjurkan pertemuan sebegitu, interaksi dua hala antara artis dan peminat akan lebih mengeratkan silaturahim. Di samping menyanjung mereka, peminat dapat peluang melihat keperibadian sebenar artis.

    Aspek ketiga iaitu sajian kandungan pula sangat relevan dengan kuasa media sosial sekarang. Kandungan di sini, bermaksud perkongsian mengenai perkembangan terbaharu artis menerusi platform media sosial.

    Peminat semestinya sentiasa mahukan kandungan terkini, bermaklumat dan bermanfaat untuk mereka ikuti. Bukannya perkongsian yang membosankan, syok sendiri atau menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat.

   Manakala aspek kualiti kerja kemudian menyusul di mana hal ini lebih berkaitan kepada peluang diberikan klien. Ada sesetengah artis memang cukup cemerlang daripada segi kualiti kerja sehingga terlebih fokus kepada aspek itu.

    Bagaimanapun, kualiti kerja sahaja tidak akan ke mana sekiranya ia sekadar untuk kepuasan diri sendiri. Kadangkala, motivasi terbaik untuk artis tampil dengan corak kerja berkualiti adalah datangnya daripada peminat.

    Disebabkan peminat, semangat artis untuk memberikan lebih lagi dalam kerjaya lebih berkobar-kobar. Harapan daripada mereka disemat dalam hati untuk membuktikan sokongan diterima daripada peminat tidak sia-sia.

    Yang terakhir, semestinya pembawaan diri. Bukan sekadar peminat bahkan ramai di luar sana sentiasa mengidolakan artis untuk lebih berjaya dalam hidup. Terutama artis yang bijak menyebarkan hal-hal positif.

   Tidak semestinya dalam aspek berpakaian sahaja yang mana hanya boleh dinilai dengan mata kasar. Sebaliknya, dalam hal seperti berbicara, berkongsi maklumat, panduan berguna dan bagaimana mereka mengemudi sebuah gaya hidup yang memberi inspirasi.

    Lima aspek ini mungkin nampak terlalu asas sahaja kerana bukan semua faham apa yang dilalui artis dalam kehidupan mereka. Memanglah artis juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada masalah.

    Bagaimanapun, kekusutan hidup sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengabaikan perhatian kepada peminat. Hakikatnya, peminat juga boleh menjadi saluran tenaga untuk mengembalikan semangat diri kepada artis apabila dirundung kesusahan.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:00 AM