Rencana

Tahukah kalian bahawa pada 2011 Israel dipaksa bersetuju dengan perjanjian pertukaran tahanan paling besar dalam sejarahnya? Ia membabitkan pertukaran lebih 1,000 orang tahanan Palestin dalam penjara Israel dengan seorang saja tentera Israel yang berada di tangan Hamas!

Sejarah ini terukir apabila pada Subuh 25 Jun 2006, sekumpulan komando Briged Izzuddin Al-Qassam melakukan operasi menyeludup masuk ke kawasan jajahan tanah haram Israel melalui sebuah terowong bawah tanah.

Kumpulan berkenaan menyerang sebuah menara kawalan penjajah, sebuah kenderaan berperisai dan sebuah kereta kebal Merkava Mark III. Dua anggota tentera dalam kereta kebal mati, seorang parah dan yang terakhir, Gilad Shalit berjaya dibawa semula sebagai tawanan ke Gaza.

Tentera penjajah bergegas ke tempat kejadian dan apabila menemui tiga orang saja dalam kereta kebal yang diletupkan menyedari bahawa Gilad menjadi tebusan pihak Palestin.

Operasi tentera dilancarkan masuk ke kawasan Gaza di Khan Yunus, tetapi gagal menemui Shalit. Shalit berada dalam tahanan Briged Al-Qassam selama 1,934 hari.

Pelbagai usaha yang dilakukan penjajah untuk mendapatkannya semula sama ada secara diplomasi atau ketenteraan gagal.

Menemui jalan buntu, mereka meletakkan wakil berbincang dengan Timbalan Menteri Luar daripada Hamas, Dr Ghazi Hamad untuk membebaskan Shalit.

Hamas memberikan tawaran – tentera mereka akan dibebaskan melalui perjanjian pertukaran tentera yang diberi nama sebagai perjanjian Wafa' Al-Ahrar, perjanjian Kesetiaan Kepada Jiwa Yang Bebas dengan syarat pertukaran Shalit adalah dengan 1,027 tahanan Palestin.

Israel terpaksa tunduk walaupun 280 tahanan Palestin yang hendak dibebaskan adalah terdiri daripada mereka yang melakukan operasi ke atas Israel dengan korban 569 orang penjajah secara kolektif. Mesir bersetuju menjadi perantara.

Pertukaran ini juga menakjubkan kerana yang berkuasa di Israel ketika itu ialah Benjamin Netanyahu yang baharu sahaja mengalahkan Ehud Olmert dalam pilihan raya.

Netanyahu terkenal membawa persepsi keras terhadap Palestin dan retorik berapi yang menolak perdamaian dan penyelesaian politik. Tetapi, nyata tekanan daripada masyarakat Israel dan ketakutan berulangnya kisah pembunuhan tentera Israel Ron Arad di tangan Hezbullah yang menjadi mimpi ngeri penduduk menyebabkan Netanyahu tidak mempunyai pilihan lain.

Peristiwa itu menandakan kemenangan besar ke atas Israel dan disambut penuh meriah di seluruh Palestin. Malah, selepas dibebaskan Shalit memaklumkan bahawa dia menerima layanan yang baik daripada Briged Al-Qassam, malah sesekali dibawa untuk menikmati BBQ di pantai Gaza tanpa kecanggihan tentera Israel dengan satelit dan dronnya mampu mengesan mereka!

Kini, isu pertukaran tentera Israel dan Palestin muncul semula apabila Hamas memaklumkan bahawa dua tentera yang ditangkap dalam operasi 2014 Israel ke atas Gaza masih hidup.

Pada April lalu, Menteri Perang Israel Naftali Bennett menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza sebagai pertukaran tentera mereka, Hadar Golden dan Shaul Aron.

Israel percaya bahawa mereka telah mati, tetapi Hamas menegaskan bahawa dua tahanan itu masih hidup.

Selain Golden dan Aron, dua orang lagi penduduk Israel yang menceroboh masuk ke Gaza dan dipercayai adalah tentera, Avraham Mengistu dan Hisham Al-Sayed juga berada di tangan Hamas.

Ketika ini kedua-dua Israel dan Palestin memerlukan kemenangan dalam bentuk pembebasan tentera khususnya Netanyahu di pihak Israel yang semakin kehilangan kredibiliti politik dan Hamas di Palestin yang semakin dipinggirkan masyarakat antarabangsa.

Mudah-mudahan ada sinar untuk tahanan Palestin yang begitu lama berada di balik jeriji besi semata-mata membebaskan bumi dan tanah air mereka yang terjajah sejak sekian lama.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 7:00 AM