SEMOGA tahun 2021 membawa sinar harapan buat umat manusia. FOTO AFP
SEMOGA tahun 2021 membawa sinar harapan buat umat manusia. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Sudah dua hari kita memasuki Tahun Baharu 2021. Tiada siapa yang membayangkan bahawa 2020 akan menjadi tahun paling sunyi dalam sejarah dunia moden. Ketika ini, pelbagai negara masih bergelut untuk mencari formula terbaik bagi mengekang penularan Covid-19.

Ramai mula menarik nafas lega apabila negara-negara kuasa besar dunia sudah meluluskan penggunaan kecemasan untuk proses vaksinasi berskala besar kepada rakyatnya. Namun, varian baharu Covid-19 pula dikesan termasuk di United Kingdom (UK), beberapa minggu terakhir ini. Setakat ini, strain ini sudah menular ke beberapa negara.

Tidak dapat dinafikan, Covid-19 memberi kesan kepada setiap daripada kita dengan pelbagai cara. Seseorang tidak perlu melihat statistik untuk melihat kesan pandemik ini. Perhatikan di sekeliling kita. Berapa ramai ahli keluarga, rakan atau kenalan yang sudah hilang mata pencarian akibat Covid-19? Ada antara mereka yang terpaksa kembali ke tanah air selepas majikan mula membuang pekerja asing.

Seorang kenalan terpaksa melupakan gaji lumayan dan pulang ke Malaysia selepas Singapore Airlines membuang pekerjanya. Seorang rakan yang juga pemilik syarikat acara kini terpaksa beralih bidang dengan mencari peluang perniagaan baharu dengan memanfaatkan YouTube. Seorang lagi pula masih menunggu untuk pulang ke Jerman selepas hampir sembilan bulan 'terkandas' di Malaysia.

Ini belum dikira berapa ramai ahli keluarga, rakan dan kenalan yang masih tercari-cari peluang pekerjaan selepas hilang mata pencarian, ketika lockdown kali pertama. Kebanyakan daripada mereka - seperti kita - mempunyai komitmen kewangan bulanan yang perlu dilunaskan ketika pandemik ini.

Perhatikan juga di sekitar kawasan tumpuan orang ramai. Banyak individu terutama orang Melayu yang tidak pernah mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan kini bergelar peniaga. Di parkir berhampiran pasar raya utama - umpamanya- peniaga rancak 'memacak' khemah untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Lebih memeritkan, Covid-19 menyebabkan ada pasangan berpisah apabila ketua keluarga kehilangan sumber pencarian.

Di sebalik itu, masih banyak perkara yang boleh kita pelajari sepanjang pandemik ini. Ia membuatkan kita lebih menghargai kehidupan. Ia juga menyebabkan kita lebih menghargai insan tersayang. Sebelum pandemik, tiada yang dapat membayangkan mereka tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya.

Ia juga menukar gaya hidup dari kebiasaan lama kepada baharu apabila bekerja dari rumah sudah menjadi satu perkara yang bukan asing lagi. Malah, ada syarikat utama dunia sudah membenarkan pekerjanya bekerja dari rumah secara kekal.

Namun, pengajaran utama pandemik ini adalah supaya sentiasa bersyukur terhadap nikmat perkara kecil dalam kehidupan.

Bersyukurlah kerana Covid-19 'mencuit' setiap daripada kita untuk kembali merenung, apa sebenarnya kehendak dan keperluan dalam hidup ini? Ini kerana... kita boleh melakukan bermacam perancangan, tetapi akhirnya, semua urusan terserah kepada ketentuan-Nya.

Selamat Tahun Baharu 2021.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 7:25 AM