PENULARAN Covid-19 di tempat kerja.
PENULARAN Covid-19 di tempat kerja.
Prof Madya Ts Dr Kadir Ariffin

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan awam di seluruh dunia sudah mengambil tindakan komprehensif dan holistik dalam mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Bagaimanapun, kebergantungan kepada pihak berkuasa dalam jangka panjang adalah tidak praktikal kerana kekangan tenaga kerja dan liputan penguatkuasaan yang terhad.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk masyarakat, perniagaan dan majikan perlu memainkan peranan dalam mengekang penyebaran wabak ini terutama di tempat kerja.

Statistik penularan wabak Covid-19 di Malaysia menunjukkan penularan di tempat kerja amat membimbangkan.

Merujuk statistik kluster Covid-19 aktif yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Disember lalu, dianggarkan 53 peratus kes jangkitan adalah berkaitan dengan penularan di tempat kerja dan 25 peratus kes jangkitan berlaku di penjara.

Sehubungan itu, pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) ketika pandemik Covid-19 secara proaktif perlu dilaksanakan majikan dalam memastikan penularan wabak ini dapat dikawal di tempat kerja di samping memastikan produktiviti syarikat tidak terjejas.

Perkara ini boleh dicapai dengan menerapkan Garis Panduan Am untuk Bekerja Secara Selamat Semasa Pandemik Covid-19, Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan (ISO/PAS 45005:2020) yang dibangunkan oleh The British Standards Institution, 2020.

Melalui garis panduan ini, majikan boleh mengambil tindakan efektif melindungi pekerja dan pihak berkepentingan daripada risiko berkaitan Covid-19.

ISO/PAS 45005:2020 memerlukan pengurusan KKP yang menilai risiko khusus pekerja dan orang berkaitan aktiviti organisasi dengan mengambil kira prosedur dan perubahan operasi untuk individu bekerja dengan selamat selaras peningkatan risiko kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja.

Pertimbangan terhadap permasalahan luaran dan dalaman organisasi perlu dibuat untuk membuat penilaian terhadap risiko yang mungkin dipengaruhi pandemik ini.

Permasalahan luaran yang boleh diambil kira adalah seperti menilai kadar penyebaran Covid-19 dalam komuniti tempatan, ketersediaan alat perlindungan diri, kaedah pengangkutan pekerja, situasi pekerja di rumah dan lain-lain lagi.

Permasalahan dalaman yang perlu dinilai adalah seperti penyebaran Covid-19 dalam organisasi, pengetahuan organisasi mengenai Covid-19, jenis pekerja dalam organisasi, langkah penjarakan sosial, ketersediaan sumber disinfeksi dan kaedah pengaturan kerja.

Melalui ISO/PAS 45005:2020, majikan perlu menunjukkan komitmen dalam mengendalikan pengurusan KKP dengan memastikan amalan kerja selamat dipatuhi, melaporkan jangkitan Covid-19 secara telus, memastikan sumber yang mencukupi, memberikan sokongan kepada pekerja yang dikuarantin dan mengkoordinasikan pengurusan risiko yang berkaitan dengan Covid-19.

Pembabitan pekerja juga penting dalam menilai risiko berkaitan Covid-19.

Ini boleh dicapai dengan mengadakan komunikasi bersama pekerja dan pihak berkepentingan dengan menyediakan satu kaedah perbincangan dan maklum balas secara maya.

Tindakan pantas perlu diambil oleh majikan jika terdapat maklum balas berkaitan risiko pandemik bagi mengekang permasalahan ini berlarutan.

Selaras perkembangan semasa, pekerja bukan saja bekerja secara fizikal di tempat kerja, malah turut bekerja di rumah, di rumah orang lain dan di pelbagai lokasi.

ISO/PAS 45005:2020 juga menekankan aspek prosedur di tempat kerja.

Bagi pekerja yang memerlukan keberadaan fizikal di premis organisasi, majikan perlu memastikan tempat kerja dan kemudahan dalam keadaan bersih dan selamat digunakan.

Perkara ini boleh dicapai dengan menjalankan saringan di pintu masuk bagi mencegah orang yang berpotensi memberi jangkitan daripada memasuki tempat kerja.

Majikan juga perlu memastikan pembersihan dan pembasmian kuman secara kerap dijalankan tanpa mengabaikan risiko sedia ada dengan menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan peralatan dan sistem secara berkala.

Melalui ISO/PAS 45005:2020, pertimbangan memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah perlu mengambil kira jenis pekerjaan pasangan pekerja, kaedah pengangkutan pekerja ke tempat kerja dan situasi jangkitan Covid-19 di rumah yang berisiko.

Ini bagi mengurangkan risiko yang boleh dibawa pekerja yang terjangkit ke tempat kerja.

Pengurusan KKP berkaitan keperluan pekerja untuk bekerja di rumah orang lain atau premis lain perlu diperkemaskan sebagai persediaan menghadapi sebarang risiko jangkitan.

Organisasi dan majikan perlu memastikan pekerja yang bekerja di pelbagai lokasi (contohnya pemandu, pembersih, pekerja kurier, pekerja penghantaran, pekerja pembaikan dan penyelenggaraan) diberi sokongan, panduan dan sumber yang mencukupi untuk bekerja dengan selamat bagi mengelak penularan wabak melalui perjalanan dan interaksi dengan orang lain.

Sokongan terhadap pekerja untuk bekerja di rumah perlu diberi berdasarkan kriteria berikut iaitu pekerja yang berisiko tinggi apabila dijangkiti Covid-19, pekerja yang terdedah dengan pesakit Covid-19, mempunyai alasan yang munasabah seperti kehamilan dan pekerja yang memerlukan sokongan demi kesihatan dan kesejahteraan psikologi mereka.

Penulis adalah pensyarah kanan di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UKM merangkap Presiden Persatuan Pengurusan Persekitaran Malaysia

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:30 AM