RAKYAT Korea Selatan yang memakai pelitup muka  berjalan di kawasan terbuka di Hongdae, Seoul. FOTO AFP
RAKYAT Korea Selatan yang memakai pelitup muka berjalan di kawasan terbuka di Hongdae, Seoul. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Ketika masyarakat dunia menyambut khabar gembira mengenai program vaksinasi yang sudah dilaksanakan di banyak negara, segelintir kumpulan individu di Korea Selatan pula semakin panik.

Namun, mereka bukan bimbang sama ada mereka menjadi penerima vaksin atau sangsi akan keberkesanan atau kesan sampingannya.

Sebaliknya, golongan ini bimbang tidak sempat untuk menjalani pembedahan kosmetik.

Di Korea Selatan, ramai kumpulan individu kini seakan mengejar deadline untuk mengatur janji temu bagi rundingan pembedahan plastik.

Bagi mereka, pandemik ini adalah masa terbaik untuk melakukan pengubahsuaian pada wajah dan bentuk badan.

Ini memandangkan peraturan pencegahan Covid-19 di negara itu memerlukan rakyatnya memakai pelitup muka di tempat berisiko tinggi untuk penularan virus itu.

Terkini, pihak berkuasa negara itu mengetatkan peraturan pemakaian pelitup muka di 23 tempat termasuk pasar raya, bar karaoke dan kafe internet.

Mereka yang ingkar akan dikenakan denda maksimum sehingga 100,000 won (kira-kira RM367)

Justeru, bagi golongan ini, pemakaian pelitup muka menyebabkan mereka tidak perlu bimbang jika ada orang ingin mengetahui mereka baharu menjalani pembedahan plastik.

Lebih mudah juga untuk mereka menjalani pemulihan selepas menjalani prosedur berkenaan.

Maka, tidak hairanlah permintaan bagi khidmat rundingan prosedur kecantikan termasuk pembedahan plastik di negara itu melonjak sepanjang tahun lalu.

Ia ketika semakin banyak negara dilanda penularan gelombang ketiga Covid-19 dan penemuan varian baharu virus berkenaan.

Korea Selatan sebenarnya sudah lama menjadi tumpuan bagi mereka yang suka membuat pengubahsuaian wajah dan tubuh ini.

Buka sahaja YouTube dan anda akan dapat melihat betapa ramai individu yang sanggup terbang ke negara ini untuk menjalani pembedahan seumpama ini.

Bagaimanapun, penularan Covid-19 menyebabkan hanya penduduk tempatan yang mengunjungi fasiliti berkenaan.

Tapi apa yang mengejutkan, jumlah mereka yang mengunjungi klinik dan hospital yang menawarkan perkhidmatan ini pada tahun lalu tetap meningkat.

Pada 2020, nilai industri itu di Korea Selatan dianggarkan bernilai AS$10.7 bilion (kira-kira RM43 bilion).

Menurut platform pembedahan plastik terbesar negara itu, Gangnam Unni, nilainya dijangka meningkat kepada AS$11.8 bilion (kira-kira 47.6 bilion), pada 2021.

Sebut sahaja mahu buat apa, semuanya boleh dilaksanakan oleh pakar di klinik dan hospital yang menawarkan khidmat berkenaan.

Kebanyakan daripada mereka berminat untuk menukar bahagian di keseluruhan wajah.

Senang cerita, mereka mahu menukar bahagian yang mudah disembunyikan di sebalik pelitup muka, umpamanya hidung dan bibir.

Ada pula yang mahu mengubah bahagian yang tidak dilitupi oleh pelitup muka.

Kumpulan kedua ini berpendapat, definisi cantik pada era pandemik ini adalah bentuk di bahagian muka yang dapat dilihat orang lain.

Dalam budaya masyarakat mereka, mengubah muka dan tubuh bukanlah perkara yang pelik.

Malah satu laporan disiarkan Huffpost, ada ibu bapa yang memberikan hadiah bagi menjalani pembedahan plastik kepada anak mereka yang tamat persekolahan.

Sementara itu, dapatan kajian Gallup Korea pada 2015 mendapati 14 peratus wanita Korea Selatan pernah menjalani pembedahan plastik membabitkan pelbagai prosedur kecantikan.

Laporan sama juga menyebut terdapat peningkatan yang membabitkan lelaki menjalani pembedahan sama.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:15 AM