GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Sesiapa yang naik melalui mata pedang akan dijatuhkan dengan mata pedang juga. Sesiapa yang memperoleh kejayaan melalui airmata orang lain, akan dijatuhkan dengan air mata berlinangan di pipi pada masa kejatuhan dan kesedihannya."

Itu antara pesanan sering diucapkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mokhtar kepada kami anak buahnya di IPD Iskandar Puteri.

Karma hidup sentiasa akan berlaku jika kita dalam sebuah organisasi atau jabatan, tidak kira sama ada dalam perkhidmatan awam atau swasta.

Kejayaan dikecapi sepanjang tempoh perkhidmatan sama ada dalam bentuk penghargaan, kesesuaian tempat kerja, status kecemerlangan diberi, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat hendaklah dengan cara diredai, bukan cara tidak bersesuaian dengan normal atau
dalam erti kata lain seperti dengki-mendengki, pijak-memijak kepala sana sini, lobi-melobi dengan menggunakan kabel serta surat tohmahan sana sini bagi mencapai impian dan maksud tersirat.

Perasaan kurang senang adalah benih sifat iri hati dan hasad dengki.

Iri hati ialah sifat muncul akibat perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh menerima serta melihat orang lain melebihi dirinya.

Lantas, rasa iri hati membuahkan pula sifat atau penyakit hasad dengki.

Hasad berasal daripada bahasa Arab bererti dengki dan sering digabungkan menjadi hasad dengki dalam bahasa harian kita.

Hasad dengki bermaksud perasaan inginkan supaya nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus.

Tetapi, dia akan berasa gembira jika dia termasuk dalam kumpulan memperoleh kelebihan serta keistimewaan berkenan.

Justeru, hasad dengki adalah sifat mazmumah paling kerap melanda diri manusia.

Dalam menghuraikan persoalan sifat yang keji ini, Imam al-Ghazali menyenaraikan tiga ciri orang yang berdengki seperti berikut: Pertama, menginginkan supaya kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan supaya kenikmatan itu berpindah kepadanya.

Kedua, menginginkan supaya kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada diri sendiri.

Yang penting baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.

Ketiga, merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dia tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.

Sehubungan itu, seseorang yang berpenyakit hasad dengki sentiasa gelisah atau tidak puas hati melihat apa yang dimiliki orang didengkinya.

Apabila perasaan itu tidak lagi dapat dikawal, maka si pendengki akan menyusun strategi supaya hasrat buruk itu tercapai dengan apa cara sekalipun.

Situasi ini yang menatijahkan gejala negatif seperti mereka-reka cerita, menfitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya bertujuan memburuk-burukkan orang didengki.

Malah, ada dalam kalangan dihidapi penyakit hasad itu sanggup bersekongkol dengan pihak musuh menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial hatta melanggani tukang sihir dan mengamalkan perbuatan keji lainnya semata-mata untuk menjatuhkan orang didengkinya.

Hakikatnya, perasaan dengki adalah salah satu perangai atau sifat buruk yang menghinggapi manusia sejak dahulu.

Ia bukan sahaja berlaku dalam dunia politik, perniagaan, pekerjaan dan persahabatan, malah turut berlaku dalam suasana kekeluargaan.

Dalam al-Quran, Allah SWT memaparkan kisah Nabi Yusuf yang dicampakkan saudaranya dalam telaga kerana merasa dengki kepadanya yang sangat disayangi bapanya iaitu Nabi Yaqub.

Hal ini terakam menerusi firman-Nya yang bermaksud: "(Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." (Ramai antara mereka berkata): "Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna." (Surah Yusuf: 8-9).

Demikian resam orang dilanda sifat serta penyakit hasad dengki, di depan berlagak saudara, mulut manis, tetapi di belakang, mereka umpama gunting dalam lipatan.

Ia membuktikan bahawa apabila hati diselimuti hasad, qada dan qadar Ilahi sanggup dinafikan.

Dalam erti kata lain, berita gembira untuk si pendengki atau kaki hasad adalah perkara buruk menimpa orang didengkinya.

Kalau ada berita buruk mengenai orang dihasadnya, maka berseri-seri mukanya kegembiraan.

Tetapi, jika ada kebaikan atau kelebihan lain orang yang dihasadnya pula, maka bermasam mukalah dia kedukaan.

Yang pasti, sifat buruk dan keji ini tidak akan reda selagi terdapat individu atau kelompok tertentu yang sanggup mewakafkan dirinya untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain.

Sesungguhnya watak sedemikian menyalahi ajaran Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW yang menyuruh kita turut gembira dengan berita baik dan berdukacita dengan berita buruk yang menimpa saudara Muslim.

Demikian kali ini, saya seperti berceramah sikit-sikit, tetapi saya bukan ustaz.

Apapun, ia mungkin akan berguna dan sebagai nasihat kepada ribuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya dan ratusan ribu penjawat awam di luar sana.

Begitu juga kepada pekerja swasta dalam bidang pekerjaan masing-masing, jangan ada sifat hasad dengki kerana jika bukan rezeki kita, usah sesekali hendak mendapatkannya dengan cara tidak betul, sebaliknya tanamkan perasaan dan suasana kerja baik sesama kita.


Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari IPD Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:00 AM