FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Pada awal kehidupan, kita dilahirkan putih bersih sebelum meningkat dewasa yang menyaksikan semakin terpalit dengan dosa kecil sehinggalah dosa besar dan akhirnya kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat.

Bersyukurlah bagi yang sempat bertaubat manakala yang tidak sempat berbuat demikian, terus hilang begitu saja. Minta dijauhkanlah. Begitulah lumrah dan karma hidup dalam rencah menempuh gelombang dunia yang bergelora ini.

Jika terus berjalan di lorong gelap tanpa memikirkan pulang ke jalan benar, penamatnya boleh menyaksikan kegagalan yang amat dahsyat. Sudah semestinya sebagai umat Islam kita berpegang kepada agama untuk pegangan hidup.

Pada masa sama, kita boleh mengadaptasi beberapa teori sebagai garis panduan untuk kehidupan kita.

Penulisan kali ini membincangkan rantaian hidup mengikut Teori Erikson (1963), Teori Brown (2009) dan Teori Steinberg (2010).

Kenapa perlunya menggunakan teori Barat untuk kehidupan kita di Malaysia?

Tidak salah menjadikan teori ini sebagai garis panduan saja untuk menjalani kehidupan dalam situasi tidak menentu ketika ini. Pada saat sukar berikutan pandemik Covid-19, ia boleh menjadi garis panduan yang mungkin sesuai dengan
satu bentuk atau acuan lain berdasarkan situasi masing-masing.

Hidup kita, kita sendiri yang mengharunginya dan jika teori ini tiada kaitan, ia boleh diabaikan saja.

Mengikut Teori Erikson (1963), Tahap pertama bermula daripada bayi berusia 18 bulan hingga mencecah tiga tahun. Tahap bayi ini membentuk kebolehpercayaan dan tidak percaya, membentuk fizikal dengan nilai kehidupan diasah keluarga.

Tahap kedua pada tiga hingga lima tahun adalah tahap meneroka kemahiran interpersonal. Tahap ketiga (lima hingga 12 tahun) adalah perasaan ingin tahu dan pada tahap ini, guru dilihat memainkan peranan.

Tahap keempat pada usia 12 hingga 18 tahun adalah remaja sedang mencari identiti, penerokaan nilai peribadi, seksual dan bidang pekerjaan. Tahap kelima (18-40 tahun) mampu memberikan nilai diri lebih erat dengan orang lain dan rasa ingin bahagia serta dicintai.

Pada tahap keenam (40-65 tahun) kerjaya ditubuhkan, mencari jalan penyelesaian kepada segala masalah yang wujud, berkeluarga dan rasa ingin bahagia.

Tahap ketujuh (65 tahun ke atas) pada tahap ini, jika sudah berjaya maka kepuasan hati terpancar dan jika gagal dalam kehidupan, pasti selalu terkenangkan masa lalu, namun menyesal sudah tidak berguna. .

Inti pati Teori Brown (2009) pula adalah langkah pertama, 'Menonjol di awalan' iaitu membangun identiti dan mengejar autonomi, kedua 'patut masuk' untuk mencari gabungan selesa dan menerima rakan sebaya, ketiga 'untuk mengukur' iaitu bagi membangunkan kecekapan mencari jalan untuk berjaya dan keempat adalah 'memegang' iaitu membuat komitmen terhadap matlamat, aktiviti dan kepercayaan tertentu.

Banyak kelakuan berisiko untuk menempuh halangan kehidupan dan pada ketika remaja, ia banyak beralih kepada tindakan berisiko. Remaja banyak menghabiskan masa bersama kawan.

Oleh itu, Brown menekankan kepada pentingnya kemahiran dan kecekapan sosial dalam membentuk identiti diri. Inti pati Teori Steinberg (2010) pula merangkumi: Pertama (neuro sains) iaitu sikap riang, tingkah laku agresif pada anak muda yang ditakrifkan gelombang otak ke perubahan perkembangan dalam struktur otak semasa zaman kanak-kanak, remaja dan kepentingannya terhadap watak serta tingkah laku seperti mencari sesuatu dalam diri atau ganjaran ditawarkan.

Aspek kedua adalah Alpha dan Theta iaitu sel otak berhubung dengan sikap sama ada duka atau riang dalam pembangunan jati diri serta membentuk kehidupan. Jika kurang kesempurnaan dalam persekitaran, akan terjebak kepada perkara negatif dalam meneruskan perjalanan hidup.

Untuk membentuk kehidupan lebih sempurna, rantaian daripada teori ini membolehkan kita melihat kehidupan sejak dilahirkan hingga saat akhir. Ia memperlihatkan bagaimana jika kita dibesarkan dalam keadaan sempurna tanpa gangguan ketika masih kecil hingga remaja dengan persekitaran baik dan mempunyai keluarga lebih sempurna.

Namun, kesempurnaan itu bukan dinilai dengan kekayaan dan kemewahan, sebaliknya kesempurnaan adalah pekerti serta adab yang menjadi pedoman untuk menempuh masa remaja, bekerja dan seterusnya berkeluarga dalam suasana bahagia.

Jika sebaliknya pula, rantaian kehidupan akan lebih mencabar dengan penuh rintangan dan terpaksa melalui ranjau duri. Pada saat menempuh selekoh terakhir kehidupan menuju kematian, cubalah mencari kedamaian di dalam jiwa agar kehidupan lebih tenang dalam menempuh sisa-sisa hidup yang tinggal.

Andai kita bahagia pada saat selekoh terakhir kehidupan, bersyukurlah dengan apa yang ada dan cubalah mengakhiri hidup dengan kesihatan lebih baik dan tenang bersama keluarga dan sahabat handai.

Jika pada saat akhir ini kita diselubungi kegagalan masa lampau, cuba beralih arah dengan mencari ketenangan dan tidak lagi memikirkan dunia pada ketika di selekoh terakhir untuk kembali kepada Sang Pencipta.

Saya suka menggunakan perkataan 'selekoh' kerana perjalanan hidup ibarat memandu kenderaan dan perlu sentiasa berhati-hati apabila bertemu selekoh. Jika tidak berwaspada dan alpa, kemalangan boleh berlaku yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

Ingatlah, kita sendiri yang membentuk masa depan. Jika kita mahu jadi baik, maka baiklah kita dan jika berada di jalan salah, segeralah kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:15 AM