ANYAMAN daripada rotan oleh Orang Asli menghasilkan seni kraf yang cukup unik.
ANYAMAN daripada rotan oleh Orang Asli menghasilkan seni kraf yang cukup unik.
PESERTA bergambar kenangan sebelum memulakan pencarian harta karun di Muzium Negara.
PESERTA bergambar kenangan sebelum memulakan pencarian harta karun di Muzium Negara.
PESERTA melengkapkan cabaran dengan bergambar berlatarbelakangkan jawapan kepada soalan yang diberikan.
PESERTA melengkapkan cabaran dengan bergambar berlatarbelakangkan jawapan kepada soalan yang diberikan.
PENGUNJUNG teruja melihat Cogan Alam dan Cogan Agama yang dipamer di Muzium Diraja.
PENGUNJUNG teruja melihat Cogan Alam dan Cogan Agama yang dipamer di Muzium Diraja.

Harimau berantai yang menjadi jawapan kepada soalan ‘seekor binatang yang paling digeruni manusia’ di Muzium Seni Kraf Orang Asli sememangnya cukup mencabar minda.

Jika diberikan jawapan menggunakan logik akal, tidak muat pula kotak silang katanya sekali gus menunjukkan jawapan yang diberikan salah.

Puaslah berlari-lari anak sambil mata tidak terlepas membaca setiap maklumat yang dipamerkan di dalam muzium itu dan ternyata, ukiran kayu harimau berantai adalah jawapannya.

Mengingat kembali kekecohan peserta yang terdiri daripada 20 pengamal media dalam melengkapkan tugasan yang diberikan sempena Program ‘Tourism Malaysia Media Challenge: KL Museum Tour, Revisited’, baru-baru ini membuatkan penulis tersenyum sendiri.

Mana tidaknya, kesungguhan peserta mencari jawapan dan menyelesaikan cabaran yang disediakan memperlihatkan pelbagai aksi tersendiri.

Bukan kemenangan yang diburu tetapi lebih kepada memberikan kerjasama dalam kumpulan dan menjelajah di segenap ruang yang ada di empat muzium dikunjungi dengan cara berlainan.

Tourism Malaysia Media Challenge: KL Museum Tour, Revisited adalah program berbentuk pencarian harta karun anjuran Tourism Malaysia diadakan bertujuan merapatkan hubungan antara lembaga penggalakan pelancongan dengan media melalui cara yang lebih menyeronokkan.

Edisi sulung dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia sempena memperingati Hari Muzium Sedunia itu juga adalah platform bagi menghidupkan kembali minat terhadap muzium terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain menjawab soalan dan melengkapkan cabaran yang diberikan, peserta juga berpeluang melawat pelbagai galeri di empat muzium iaitu Muzium DiRaja, Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu dan Muzium Seni Kraf Orang Asli selain melihat pelbagai barangan, artifak unik serta bernilai tinggi di setiap muzium.

Muzium Diraja

Muzium Diraja menjadi lokasi pertama dikunjungi. Berbekalkan soalan yang diberikan, peserta memasuki Balairung Seri untuk mencari dan mengambil gambar barangan yang dikehendaki.

Bersempena Pameran Raja Kita yang sedang berlangsung sehingga 4 September ini, pelbagai koleksi gambar peribadi dan peralatan sukan kesukaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V seperti go-kart, basikal dan peralatan menyelam.

Alat kebesaran utama dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong iaitu Keris Panjang Diraja, keris kerajaan yang menjadi tanda kebesaran dan kekuasaan turut dipamer.

Pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat keris yang disalut emas dan di atas sampir (sarung) ditetap lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang 11 negeri Tanah Melayu.

Cogan Alam, Cogan Agama dan alat kebesaran diraja yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong seperti cokmar, pedang, keris panjang dan sundang diraja, payung ubur-ubur kuning dan tombak berambu turut dipamer.

Jujur penulis katakan, menerusi Pameran Raja Kita yang diadakan setiap lima tahun ini secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengenali Sultan Muhammad V di samping menghayati keunikan istiadat pertabalan yang penuh dengan tertib tersendiri.

Selesai menyelesaikan tugasan di Muzium Diraja, peserta menaiki bas Hop On Hop Off ke destinasi seterusnya bagi meneruskan pencarian harta karun.

Muzium Negara

Selesai mendengar taklimat, peserta yang dibahagikan kepada lima kumpulan berpecah bagi mencari dan melakukan cabaran yang tersedia.

Galeri tetap Muzium Negara terbahagi kepada empat galeri iaitu Galeri A: Sejarah Awal yang membawa pengunjung menerokai proses pembentukan muka bumi dan menghayati cara hidup masyarakat awal menerusi setiap artifak yang dipamerkan.

Antara artifak yang menarik perhatian ialah Manusia Perak, rangka manusia tertua yang hampir lengkap di Asia Tenggara yang ditemui di negara ini berusia kira-kira 10,000-11,000 tahun dahulu.

Di galeri B: Kerajaan-Kerajaan Melayu, galeri ini membawa pengunjung menelusuri sejarah perkembangan tamadun Melayu menerusi pembentukan kerajaan Melayu di seluruh Nusantara khasnya yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo.

Galeri C: Era Kolonial pula mempamerkan peristiwa yang berlaku dari 1511 hingga 1945. Ia memaparkan sejarah kedatangan kuasa asing bermula daripada penjajahan Portugis ke atas Melaka pada 1511 yang menandakan berakhirnya zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga pendudukan Jepun.

Turut dimuatkan di dalam galeri ini adalah impak yang ditinggalkan oleh penjajah ke atas Tanah Melayu dari sudut politik, sosial dan ekonomi yang membawa kepada asas pembentukan Malaysia pada hari ini.

Manakala Galeri D : Malaysia Kini, menyingkap sejarah gerakan awal nasionalisme yang dipelopori tokoh kebangsaan daripada pelbagai kaum yang berlatarbelakangkan kepelbagaian parti politik bermula daripada campur tangan Inggeris sehingga mencapai kemerdekaan pada 1957.

Galeri ini juga memaparkan pencapaian negara selepas kemerdekaan hingga kini.

Tidak hanya mencari jawapan di empat galeri ini, peserta juga perlu menyelesaikan cabaran ‘musang berjanggut’ iaitu mengasingkan rempah ratus yang sudah dicampuradukkan dan mengukur kelapa.

Muzium Etnologi Dunia Melayu

Selesai cabaran, galeri yang memfokuskan kepada kepelbagaian aspek sosiobudaya masyarakat Melayu di Malaysia yang ditonjolkan melalui koleksi artifak berestetika tinggi seperti kesenian tradisional, busana dan perhiasan diri, permainan tradisional dan persenjataan menjadi lokasi seterusnya.

Selain itu, diorama seperti perkampungan Melayu, bangsal Wayang Kulit, Pelaminan Melayu dan pembuatan wau bulan juga turut mengisi ruang pameran galeri ini.

Antara koleksi menarik yang dipamerkan di galeri ini termasuk pakaian Cik Siti Wan Kembang, pelaminan Perak, watak wayang kulit dan pelbagai jenis replika perahu.

Cabaran memakai pakaian tradisional Puteri Perak juga antara cabaran yang membuatkan kumpulan penulis terkejar-kejar kerana masa kesuntukan masa.

Muzium Seni Kraf Orang Asli

Menyelesaikan silang kata di muzium ini cukup mencuit hati dengan kekecohan peserta mencari jawapan.

Kali pertama memasuki muzium ini, penulis sememangnya cukup teruja dengan setiap yang dipamerkan di sini. Di sini terdapat 138 bahan koleksi yang dipecahkan kepada lapan segmen. Majoriti bahan koleksi yang diperagakan adalah ukiran patung dan topeng.

Ini kerana ukiran kayu ini mempunyai keunikan tersendiri dan diperakui oleh dunia. Kemahiran tukang ukir jelas terserlah dengan sentuhan seni melarik yang tepat walaupun mengunakan sistem konvensional. Jumlah topeng dan patung yang diperagakan adalah 54 unit.

Muzium Seni Kraf Orang Asli ini juga memperagakan sebahagian besar bahan koleksi yang sering tersimpan dalam repositori untuk tatapan pengunjung.

Segmen anyaman tradisi dengan koleksi pelbagai bentuk daripada suku kaum yang berbeza, peralatan memburu dan menangkap ikan, alatan muzik, replika kubur masyarakat Orang Asli serta koleksi perhiasan diri pasti membuatkan pengunjung teruja dengan kehalusan seni kraf Orang Asli ini.

Selesai menyelesaikan silang kata, cabaran menyumpit yang juga salah satu cara Orang Asli memburu di hutan perlu dilaksanakan sekali gus mengakhiri pencarian harta karun Tourism Malaysia Media Challenge: KL Museum Tour, Revisited.

Keletihan sedikit terasa, namun keseronokan dan ilmu yang diperoleh cukup bermakna sekali gus membuatkan rata-rata peserta pulang dengan senyuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 11:54 AM