TEMPURA sabo antara menu yang disukai orang Malaysia.
PENULIS bergambar di belakang geisha yang baru selesai menjalani latihan tarian di sebuah premis di Higashi Chaya.
PEMANDANGAN di salah satu contoh rumah samurai dahulu kala.
PEMANDANGAN Taman Kenroku-en dari atas bukit.
Manan Samad
manan_samad@hmetro.com.my


Peluang berkunjung ke wilayah Chubu atas jemputan Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO), baru-baru ini membolehkan penulis 'menjiwai' negara matahari terbit itu dengan lebih dekat.

Chubu terletak di tengah-tengah Jepun dan pulau Honshu iaitu pulau utama di negara itu.

Penulis bersama dua lagi wartawan Malaysia dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik di wilayah itu antaranya Nagano, Kanazawa, Gokayama, Hida-Furukawa, Takayama, Miyagawa dan Nagoya sambil ditemani pemandu pelancong berpengalaman, Eriko.

Eriko berusia 50-an manakala kami 40-an, 30-an dan 20-an daripada empat generasi berbeza, tetapi Eriko yang paling cergas dan ligat berjalan membayangkan dia sangat menjaga kesihatan dan pemakanannya.

Sepanjang lima hari berada di sana, kami diberi peluang mencuba semua jenis pengangkutan daripada kereta api laju (bullet train Shinkansen), kereta api ekspres, penerbangan tempatan, bas henti-henti, teksi, kereta sewa hinggalah berjalan kaki beberapa kilometer setiap hari.

Mungkin JNTO mahu kami menghayati, mendalami dan mengenali identiti serta budaya Jepun dengan sebaik mungkin.

Paling menarik per­hatian penulis, kunjungan kami ke Kanazawa. Kami ke situ dari Nagano menaiki kereta api laju dengan kelajuan 300 kilometer sejam melalui beberapa kawasan pergunungan dengan peman­dangan indah yang pasti memukau mata memandang.

Selepas mendaftar masuk di Kanazawa New Grand Hotel, salah satu hotel mesra Muslim di situ, kami dibawa ke istana lama Kanazawa dengan keluasan 28.5 hektar. Pelancong yang meminati seni bina istana lama Jepun pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar di situ.

Tidak jauh dari istana lama itu, kami ke Taman Kenroku-en yang dikatakan antara tiga taman tercantik di Jepun. Bukan mahu memuji, secara peribadi taman itu lebih cantik daripada dua taman terkenal yang pernah penulis lawati iaitu Hyde Park di London dan Central Park, New York terutama dari segi landskapnya.

Mereka yang ‘gila’ bergambar, selfie atau wefie pasti menikmati suasana dan pemandangan indah di taman ini dengan pokoknya dicantas kemas, selain kebersihan dijaga rapi.

Selepas menikmati makan tengah hari menu tempura sabo dan teh hijau di sebuah restoran di taman itu, kami menaiki bas awam untuk ke kedai cenderamata daun emas di Shimoshinmaci. Sebelum menaiki bas, dapat diperhatikan sekitar situ banyak kedai menjual aiskrim daun emas.

Di kedai cenderamata itu, kami diberi peluang membuat sendiri cenderamata daun emas untuk dibawa pulang. Nampak mudah tapi rumit. Proses pembuatannya itu memerlukan ketelitian dan kreativiti tinggi untuk memastikan ia cantik dan kemas.

Sejam berada di situ, Eriko membawa kami ke pasar Omi-Cho. Tidak banyak yang menarik perhatian terutama bagi orang lelaki seperti penulis. Tapi sempat juga mencuba ‘unagi’ (belut) bakar yang menepati selera penulis dan antara makanan popular di Jepun.

Jika diikutkan program hari itu sudah habis, tapi kami memujuk Eriko untuk ke dua lagi lokasi menarik bagi pelancong asing termasuk rakyat Malaysia iaitu perkampungan samurai di Nagashiwa dan kawasan geisha di Higashi Chaya.

Rupa-rupanya wanita geisha masih mengekalkan budaya lama. Mereka hanya tampil dalam majlis tertutup dan sukar dilihat di tempat awam. Kalau bernasib baik, bolehlah mengambil gambar curi geisha berjalan di sekitar Higashi Chaya, itupun dengan payung menutup muka.

Kami mengakhiri program hari itu dengan menikmati makan malam shushi di stesen Kanazawa sebelum pulang ke hotel penginapan.

Tak kenal maka tak cinta. Jepun tempatnya menarik, bersih dan selamat, budaya unik manakala masyarakatnya sangat bersopan santun, sangat sesuai dilawati bersama rakan atau keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 11:59 AM