Hafiz Ithnin

[email protected]

Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) terus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa bagi menarik dua atau tiga syarikat penerbangan asing baru ke lapangan terbang yang diuruskannya.

Ketika ini, MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia dan dua di luar negara. Pada masa sama berjaya menarik kehadiran sembilan syarikat penerbangan asing ke Malaysia sejak awal tahun ini hingga kini.

Pengurus Besar Pasarannya Mohamed Sallauddin Mohamed Shah berkata, antara bayangan yang boleh diberikan adalah syarikat penerbangan itu dari India dan China.

Beliau berkata, sekiranya syarikat penerbangan dari India itu bersetuju beroperasi di Malaysia, ia menjadi sejarah kerana kali pertama syarikat penerbangan berdaftar dari negara itu terbang ke Kuala Lumpur.

“Syarikat penerbangan dari India itu masih tidak dapat dinamakan memandangkan mereka dalam proses membuat keputusan akhir. Kami berharap ia dapat beroperasi di negara ini bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.

“Berkenaan syarikat penerbangan dari China pula kami terus mempromosikan destinasi di Malaysia untuk mereka beroperasi. Ini kerana terdapat banyak syarikat penerbangan dari negara itu yang masih boleh diterokai dan pasarannya begitu luas,” katanya.

Dalam laporan terdahulu menyebut, MAHB mencatatkan kehadiran 8.5 juta penumpang di pasaran Malaysia pada Ogos lalu meningkat 0.9 peratus dari tahun ke tahun berbanding bulan sama pada 2017.

Katanya, Langkawi juga antara destinasi yang menjadi perhatian pemain industri penerbangan asing untuk menjalankan operasi mereka dengan menjangkakan kehadiran Qatar Airways beribu pejabat di Qatar dan TUI Airways yang berpangkalan di United Kingdom.

Kehadiran kedua-dua penerbangan itu bakal menambah jumlah penerbangan terus ke Langkawi yang kini hanya membabitkan AirAsia, Scoot dan Malindo Air.

“Kehadiran lebih banyak penerbangan terus ke Langkawi sekali gus membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke pulau berkenaan. Setakat 2017, 3.68 juta pelancong datang ke sini yang meningkat 1.4 peratus berbanding 3.63 tahun sebelumnya.

“Unjuran pada tahun ini, bersandarkan peningkatan jumlah penerbangan terus akan membantu pertumbuhan kehadiran pelancong asing ke Langkawi berbanding tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 12:51 PM