AKSI pantas Amer ketika di atas litar menggerunkan pesaing.
Hafiz Ithnin

Bermula hanya sebagai satu aktiviti rekreasi pada usianya sembilan tahun, siapa sangka selepas tujuh tahun dia bukan saja menjadi peserta termuda, malah digeruni pesaing profesional dunia lain kerana kehebatannya di litar permotoran dalam kejohanan antarabangsa.

Amer Harris yang kini berusia 15 tahun sudah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih juara dalam kejohanan Rotax Max Challenge Asia 2018 dalam kategori senior.

Tidak sekadar itu, tahun lalu dalam kejohanan IAME Asia Final di Thailand kelas senior, Amer memberi saingan sengit dan menyingkirkan dua nama bekas juara dunia, Tom Joyner dan Hannes Janker apabila dia dinobatkan sebagai naib juara.

Menyelak biodata milik anak kelahiran Kuala Lumpur ini, ternyata mengujakan kerana pada usia seawal sembilan tahun dia sudah berjaya menjadi juara kejohanan go-kart di Malaysia, kemudian sehingga kini lebih 20 pusingan perlumbaan dalam pelbagai kejohanan namanya sentiasa meniti kedudukan di tangga ketiga teratas di pentas antarabangsa.


AMER (dua dari kiri) sentiasa menjadi kebanggaan keluarga.

Terbaru, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berjaya merangkul naib juara dalam Kejohanan X30 Asia Cup Invitational 2019 dalam kategori senior mengalahkan pelumba antarabangsa yang lebih berusia dan berpengalaman daripadanya.

Amer berkata, dia tidak menyangka aktiviti itu yang asalnya cuma mengisi waktu santai bersama keluarga kini menjadi perkara serius dalam kehidupannya apatah lagi masih di alam persekolahan.

Katanya, ketika berjaya menjadi juara dalam satu kejohanan go-kart di Malaysia, dia dipilih Art Talent Cup Asia yang berpangkalan di Itali untuk membimbingnya ke peringkat lebih tinggi dan berjaya meletakkannya sebagai naib juara dalam kejohanan Art Talent Cup Asia 2013 membabitkan peserta antarabangsa.

“Bagi menyertai kejohanan go-kart bukan saja memerlukan persediaan dari segi mental dan fizikal, malah perlu mempunyai sumber kewangan mencukupi disokong pelbagai pihak untuk membolehkan saya terus maju dalam sukan ini,” katanya.


DINOBATKAN sebagai juara Rotax Asia Challenge 2018.

Bercerita lanjut, ketika ini dia berdepan dengan cabaran kewangan untuk bertanding di Eropah selepas mendapat jemputan menyertai Kejohanan Eropah 2018 yang berlangsung antara Ogos hingga November ini.

Katanya, tahun lalu dia mendapat tiket untuk berlumba di Brazil dan pihak penganjur bersedia menaja segala keperluan. Bagaimanapun, kejohanan itu tidak dapat disertai disebabkan kos tiket penerbangan yang tinggi.

“Dalam setiap kejohanan saya memerlukan sekitar RM20,000 dan selalunya wang persendirian digunakan untuk membolehkan saya menyertainya. Namun kejohanan di Eropah ini, kosnya lebih tinggi dan berharap ada pihak sudi menaja.

“Saya juga mendaftar secara dalam talian dalam aktiviti kutipan dana menerusi aktiviti dana teroka di gogetfunding.com yang setakat ini sudah mengumpul RM4,916 ($AS1,200). Bagaimanapun, saya masih perlukan lagi dana tambahan,” katanya yang turut berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menilai pencapaiannya sebagai atlet negara.


AMER (tiga dari kiri) berada pada kedudukan kedua dalam IAME Asia Final 2018 di Thailand.

Meskipun aktif dalam perlumbaan go-kart, pencapaian akademiknya tidak pernah diabaikan dan sentiasa mendapat keputusan yang memberangsangkan setakat ini.

“Selepas tamat sekolah, saya berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan kerana ingin meneruskan minat sebagai pelumba profesional yang diiktiraf kelab antarabangsa.

“Jika saya berjaya dalam bidang perniagaan kelak, saya mampu mempunyai dana sendiri untuk mencapai impian sebagai jurulatih profesional atau menjadi pelumba berbayar seperti pelumba go-kart dunia yang hebat ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 3:23 PM